MALAYSIA telah menggunakan sepenuhnya peluang sebagai Kepengerusian ASEAN 2025 untuk memperkenalkan negara dalam kalangan 690 juta warga ASEAN.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, Malaysia telah menggunakan dua strategi iaitu pertama dengan menggunakan mesyuarat ASEAN untuk memperkenalkan negara.
“Terdapat lebih 1,000 mesyuarat ASEAN diadakan di tempat berlainan. Baru-baru ini di Langkawi. Dalam setahun menjadi pengerusi ASEAN, kita dapat memperkenalkan negara melalui mesyuarat yang diadakan di tempat-tempat berlainan. Selain Kuala Lumpur, kemungkinan akan diadakan di tempat lain untuk 1,000 mesyuarat ini,” katanya.
Menurut Azmi, ketika bergerak ke lokasi berlainan, produk pelancongan turut diperkenalkan. Katanya, Malaysia menggunakan mesyuarat tersebut untuk mempromosikan lokasi berlainan yang diadakan dalam kalangan ASEAN dan rakan selain ASEAN seperti Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand.
Sementara itu, Azmi berkata, strategi kedua iaitu dengan memperkenalkan visa tunggal ASEAN.
Ujarnya, strategi ini bagus supaya tidak perlu memohon visa untuk ke negara dalam ASEAN bagi pelancong.
“Pelancong pergi ke satu tempat dalam satu masa sahaja. Ini dapat tingkatkan industri pelancong di sembilan negara ASEAN lain,” katanya.
Tambah Azmi, beliau melihat Kepengerusian ASEAN secara langsung memperkenalkan produk pelancongan Malaysia kepada penduduk ASEAN lain.
Terdahulu, Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada 11 Oktober tahun lalu semasa Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tukul kayu Pengerusi ASEAN daripada rakan sejawatnya dari Laos, Sonexay Siphandone pada majlis itu. – WILAYAHKU