Berita

Kepengerusian ASEAN 2025: Pakar seni diplomasi

KEMAHIRAN diplomasi yang dimiliki Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal meningkatkan imej ASEAN di persada antarabangsa.
- Diterbit 2 Disember 2024 3:09 PM MYT

LAWATAN ke luar negara yang dilakukan Perdana Menteri dilihat penting untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia yang bakal mengambil alih tampuk Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun 2025.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan ketika dihubungi Wilayahku berkata, lawatan yang dilakukan Perdana Menteri sebelum ini penting berikutan Malaysia dan ASEAN perlu mempunyai suara di dalam mana-mana persidangan antarabangsa.

“Minggu lalu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan berakhir di Persidangan G20 di Brazil. Pertubuhan-pertubuhan ini menghimpunkan negara-negara dagang dan ia penting untuk Malaysia terutama menyuarakan kepentingan Malaysia, ASEAN dan negara-negara Islam dan kecil yang lain,” katanya.

Menjelas lanjut, Azmi berkata, kemahiran diplomasi dan pengaruh yang ada pada beliau dilihat dapat memimpin ASEAN dengan cemerlang berikutan pelbagai perkara yang menimpa global.

“Bagi saya, apabila Perdana Menteri melawat dan bermesyuarat dengan pemimpin lain, beliau seorang yang boleh berhujah, articulate hujahnya.

“Tindakan beliau berjumpa dengan pemimpin asing dilihat memperjuangkan dan memelihara kepentingan negara dan ini dikatakan kelebihan yang ada pada Anwar kerana beliau dipandang tinggi.

“Selain itu, penghujahan beliau dan seni berdiplomasi yang ada padanya digunakan untuk mendapatkan sesuatu dan ini sewajarnya kita mengakui kelebihan yang ada pada Malaysia dan ASEAN di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim,” katanya.

Azmi berkata, Malaysia telah mempamerkan sikap yang berkecuali dan tidak menyebelahi mana-mana pihak kuasa besar selain mengelakkan sebarang konflik yang berisiko kepada negara.

“Sebagai contoh Laut Cina Selatan, kita tidak berpihak kepada Amerika Syarikat mahupun China, dan dalam hal ini langkah untuk menyertai BRICS umpamanya adalah untuk mendapatkan suara dan kedudukan.

“Sebelum ini, negara di dalam G7 dikuasai oleh negara Global North yang berpengaruh dan kita memerlukan suara. Oleh yang demikian kita perlu masuk dan menyertai kumpulan BRICS,” katanya.

Selain itu kata beliau, Malaysia turut berpegang kepada prinsip untuk tidak akan menyebelahi mana-mana pihak seperti Manila yang mendapatkan pertolongan dan bantuan dari Amerika Syarikat.

“Kita telah melihat potensi krisis yang tercetus dan perbalahan fizikal tercetus antara Manila dan Beijing terutamanya di Kepulauan Paracel. Jadi itu pentingnya untuk kita berbaik dengan semua orang dan tidak menyebelahi mana-mana pihak supaya kita tidak terperangkap seperti yang dilalui oleh Manila ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, sudah pasti kelebihan ASEAN akan lebih menyerlah selepas ini berikutan sikap yang ditunjukkan Perdana Menteri untuk terus meneroka peluang menyuarakan kepentingan negara-negara kecil.

“Kita dapat melihat dengan jelas tindakan Perdana Menteri berhubung negara veto di dalam Majlis Keselamatan PBB. Beliau menyuarakan ketegasan Malaysia agar Brazil dilantik bagi mewakili negara Latin, Malaysia mewakili ASEAN dan Afrika Selatan mewakili Blok Afrika.

“Ini sebagai satu usaha supaya pertubuhan dunia seumpama itu tidak sekadar diwakili negara yang digelar Global North yang sebelum ini membuat keputusan bahkan beliau mempamerkan kekuatan untuk menyuarakan pandangan mewakili kumpulan negara di gelar Global South iaitu negara-negara yang sedang membangun,” katanya.

Tambah beliau, dengan menggembleng tenaga Global South ini, maka Perdana Menteri dapat mempromosi serta menyatakan pendirian ASEAN dan Malaysia bagi mendapatkan suara dalam keadaan yang lebih adil.

“Ini kerana secara lazimnya negara Global North selalunya membuat keputusan dan sebaliknya terpaling ramai adalah negara Global South. Dengan usaha menggembleng tenaga Global South, ia akan menjadi suara yang kuat yang dapat diutarakan untuk kestabilan global,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas