Berita

Kepengerusian ASEAN 2025 menjamin tertib dunia

- Diterbit 17 Februari 2025 3:05 PM MYT

MALAYSIA perlu memainkan peranan aktif di kala peredaran arus geopolitik dan ekonomi global yang kian rencam dan tidak menentu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara tersebut ditegaskan beliau pada Sidang The China Conference: Southeast Asia 2025 Innovating for Tomorrow: Strengthening ASEAN-China Economic Ties anjuran South China Morning Post (SCMP).

“Platform dan ruang Kepengerusian ASEAN 2025 adalah peluang yang terbaik kepada Malaysia, tidak hanya dalam memungkinkan keterangkuman dan kelestarian di rantau ASEAN, tetapi juga bersama dalam membentuk, menyusun dan menjamin tertib dunia (world order).

“Malaysia kekal teguh dan akan terus konsisten dengan pendirian tidak memihak kepada mana-mana kutub atau blok kuasa tetapi berdiri tegas di jalur yang menghidupkan budaya wacana dan dialog dengan semua negara,” ujar beliau di Laman Facebook.

Justeru, ASEAN mesti menjalinkan hubungan baharu dengan blok-blok lain bagi mencipta masa depan yang lebih baik.

“China ialah rakan dagang terbesar ASEAN, ini merupakan fakta bersandarkan hubungan simbiosis yang telah membawa manfaat kepada kedua-dua negara. Amat penting untuk hubungan ini terus berkembang dan mekar agar kemakmuran mampu tercapai.

“Melangkah ke hadapan, ASEAN perlu mengembangkan keterlibatannya dengan rakan kerja bukan tradisional. Dengan mempelbagaikan kerjasama, ASEAN boleh mewujudkan daya tahan ekonomi, membuka peluang-peluang pelaburan baharu dan memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membentuk rangka kerja tadbir urus terbaik di persada global,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas