Berita

Kepengerusian ASEAN 2025: Mencipta acuan Malaysia 2025, 2035

- Diterbit 7 Februari 2025 4:20 PM MYT

TANGGUNGJAWAB Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 merupakan platform yang amat penting bagi negara mencipta acuan sendiri menerajui negara-negara Asia Tenggara dan akan dilihat kembali untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Hal demikian kerana pusingan seterusnya Kepengerusian ASEAN bagi Malaysia adalah pada 2035.

Profesor Pengajian ASEAN di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Phar Kim Beng berkata, apabila Laos menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Oktober lalu, Malaysia menampakkan keyakinan mampu menggalas tugas tersebut dan membawa ASEAN jauh ke hadapan.

Menurut beliau sama ada sedar atau tidak, Anwar telah menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah Kepengerusian ASEAN pada 1985, 1995, 2005 dan terakhir pada 2015.

“Tahun ini cukup berbeza dengan beliau adalah seorang Perdana Menteri. Beliau perlu menyalurkan kedinamikan sepenuhnya ke dalam ASEAN kerana kepimpinan Malaysia dalam ASEAN yang seterusnya adalah pada 2035.

“Biarpun ketika itu beliau sudah berusia 87 tahun, ASEAN pada masa itu perlu menunjukkan ia sekurang-kurangnya boleh membuktikan kemampuan sebagai organisasi serantau terbaik dan konsisten dengan Piagam ASEAN yang berpusatkan rakyat,” katanya.

Katanya, menjelang 2035 golongan pekerja di ASEAN mesti menikmati tahap yang tinggi dalam komuniti ekonomi.

“Kebajikan dan keselamatan mereka, dalam erti kata lain, mesti mendapat manfaat langsung daripada input dasar ASEAN.

“Sama pentingnya, ASEAN pada 2035, mesti mempunyai ketersambungan digital mampu milik, lestari dan konsisten melalui kemajuan antaranya teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Untuk itu, baiknya adalah Anwar seorang yang optimis dengan kebolehan luar biasanya untuk mengatasi halangan dan kesulitan, hasil pengalaman politiknya selama ini,” tegasnya.

Beliau menambah, Anwar mesti memastikan 2025 ini memberi impak yang signifikan kerana pada penghujung 2027, ia akan menandakan tamatnya tempoh lima tahun pertama beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Katanya, 2025 juga menandakan berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-12 yang menjadi panduan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai negara perdagangan.

Di bawah kepimpinan Anwar jelasnya, menyaksikan lebih banyak kumpulan negara digerakkan dengan Malaysia mewujudkan hubungan ASEAN Plus 3 membabitkan China, Jepun dan Korea Selatan.

Malah jelasnya, Anwar dijangka memanfaatkan persidangan besar seperti Sidang Kemuncak ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) atau ASEAN-GCC yang dijadualkan pada April atau Mei ini.

“Kerjasama ASEAN dan GCC sudah lama dibincangkan sejak 2009. Anwar perlu memastikan ia menjadi realiti dengan manfaat ekonomi yang mampan.

“Malaysia turut berperanan dalam menguruskan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) serta Forum Serantau ASEAN (ARF) dan Sidang Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus).

“Dengan pelbagai sidang utama bakal berlangsung tahun ini, Malaysia perlu membuktikan keupayaannya sebagai pemimpin ASEAN yang berkesan,” katanya.

Ini katanya masa sesuai untuk Anwar mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin utama ekonomi dan politik global. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas