Berita

Kepengerusian ASEAN 2025: Inisiatif bentuk masa depan

- Diterbit 7 Februari 2025 3:34 PM MYT

MALAYSIA berada pada kedudukan strategik sebagai Pengerusi ASEAN dalam membentuk masa depan rantau ini menerusi Inisiatif Kecerdasan Buatan Malaysia MADANI (MMAI) dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks.

Presiden Persatuan Jurutera Malaysia (MAE), Datuk Feroz Hanif Mohamed Ahmad berkata,  pihaknya melihat terdapat beberapa manfaat tambahan dan peluang strategik yang boleh Malaysia capai sepanjang tempoh ini menerusi MMAI.

“Ia dapat mempercepatkan integrasi rantau dalam teknologi dan AI menerusi Platform Kerjasama AI Serantau, dengan fokus kepada transformasi digital, Malaysia boleh memimpin usaha untuk mewujudkan ekosistem AI serantau, selari dengan inisiatif MMAI. Ini juga boleh dikaitkan dengan MoU Malaysia-UAE dalam AI untuk memperluaskan kerjasama ke peringkat ASEAN.

“Melalui aspek pemindahan teknologi, Malaysia boleh memperkukuhkan jaringan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan negara-negara ASEAN untuk teknologi baru seperti 5G, AI, tenaga boleh diperbaharui dan bandar pintar,” katanya kepada Wilayahku.

Jelas beliau inisiatif MMAI selari dengan matlamat teknologi dan ekonomi jangka panjang Malaysia dengan memfokuskan kepada pembinaan ekosistem AI yang mampan.

“Ia bertujuan memacu inovasi, meningkatkan daya saing industri tempatan serta membuka peluang dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk pertanian dan pendidikan.

“Melalui pembangunan AI, Malaysia berusaha untuk menjadi peneraju dalam teknologi digital di rantau ini, di samping memajukan ekonomi digital yang berasaskan pengetahuan dan inovasi,” katanya.

Feroz berkata, memorandum persefahaman yang dicapai antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lalu menyerlahkan keupayaan AI Malaysia di peringkat global dengan membuka saluran pemindahan teknologi dan perkongsian pengetahuan antara dua negara.

“UAE, sebagai negara yang telah maju dalam penerapan AI dan teknologi digital, dapat menyediakan Malaysia dengan akses kepada teknologi canggih dan pengalaman dalam menguruskan projek AI besar.

“Ini memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri teknologi global dan membantu membentuk Malaysia sebagai pusat kecemerlangan AI,” katanya.

Tambahnya MoU berkenaan memudahkan pemindahan teknologi dan kepakaran AI melalui pelbagai inisiatif termasuk latihan profesional, kerjasama penyelidikan dan pembangunan projek.

“Dengan perkongsian ini juga, Malaysia dapat memanfaatkan kepakaran UAE dalam bidang AI yang sudah matang, sambil memperkenalkan penyelesaian AI yang lebih efisien.

“Kerjasama ini memberi manfaat kepada ekosistem R&D AI tempatan dengan meningkatkan kapasiti sumber manusia serta mempercepatkan penerapan teknologi baharu dalam sektor-sektor strategik,” katanya.

Ujar Feroz lagi, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, MMAI yang dipelopori Malaysia menyerlahkan kepimpinan negara dalam isu kelestarian dan perubahan iklim.

“Dalam aspek alam sekitar misalnya, Malaysia boleh mengetengahkan beberapa agenda yang penting antaranya perubahan iklim, pengurusan bencana serta pembangunan mampan.

“Bagi aspek kerjasama tenaga hijau, Malaysia boleh merintis kerjasama rentas sempadan untuk projek tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Kata beliau lagi, MMAI boleh dimanfaatkan dalam pemerkasaan sosial dan pendidikan sekali gus membangunkan modal insan.

“Sebagai pengerusi, Malaysia boleh memperkukuhkan program pendidikan serantau, latihan vokasional dan pembangunan bakat dalam teknologi tinggi, AI dan Sains, Teknologi dan Matematik (STEM),” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas