KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah menjalankan aktiviti penguatkuasaan secara pendidikan di 104,674 premis bagi memastikan kepatuhan kepada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852), bagi tempoh sehingga 31 Disember lalu.
Menurut KKM, aktiviti dilaksanakan bersama dengan pengedaran tanda amaran khususnya di dua lokasi baharu yang diisytiharkan kawasan larangan merokok iaitu bangunan dobi dan tempat kerja.
Jelasnya, larangan di kedua-dua lokasi itu dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu manakala Akta 852 mula berkuat kuasa 1 Oktober 2024.
“Di bawah Perintah Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pengisytiharan Kawasan atau Tempat Larangan Merokok) 2024, sebanyak 28 kawasan atau tempat larangan merokok telah diisytiharkan, termasuk dua tempat baharu iaitu bangunan dobi dan bangunan tempat kerja yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
“Bagi memastikan kepatuhan terhadap peraturan di dua tempat baharu ini, penguatkuasaan secara pendidikan telah dilaksanakan terlebih dahulu sejak 1 Oktober 2024, sebelum penguatkuasaan penuh dijalankan.
“Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pemilik premis, orang awam dan pihak lain yang berkaitan untuk memahami serta mematuhi peraturan larangan merokok yang
ditetapkan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
KKM menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai inisiatif meningkatkan kesedaran kawasan larangan merokok menurut Akta 852.
Kementerian itu menambah, menurut Seksyen 18, Akta 852 yang dibaca bersama dengan Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Tanda
Amaran Larangan Merokok) 2024, adalah menjadi tanggungjawab tuan punya atau penghuni mana-mana kawasan atau tempat yang diisytiharkan sebagai larangan merokok untuk, pada setiap masa, mempamerkan tanda amaran larangan merokok yang mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Katanya, tanda tersebut hendaklah dipamerkan di lokasi yang mudah dilihat terutamanya oleh orang awam bagi memastikan pemahaman dan kepatuhan terhadap larangan merokok di kawasan tersebut.
“Tempoh sehingga 1 April 2025 diberikan kepada tuan punya kawasan atau tempat larangan merokok tersebut untuk mempamerkan tanda amaran larangan merokok yang baharu,” jelasnya. – WILAYAHKU