Berita

Kenyataan Teresa bersifat peribadi, kerajaan tidak subahat

JAKIM mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal. - Gambar hiasan
- Diterbit 13 September 2024 9:50 AM MYT

PELBAGAI reaksi negatif dilemparkan di media sosial susulan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mendakwa pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Rata-rata pihak menyuarakan rasa tidak puas dengan maklum balas Teresa terhadap cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal yang dianggap hanya menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Di sebalik ketidakpuasan hati terutamanya masyarakat Islam, ada pula pihak yang tidak semena-mena mengaitkan isu tersebut dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka menuduh PM hanya mengikut sahaja telunjuk Teresa dan ‘takut’ untuk mempertikaikannya kerana bimbang kedudukan beliau sebagai ketua kerajaan akan tergugat.

Nampaknya pihak yang suka menuding jari ini tidak lain hanyalah untuk mengambil kesempatan menjatuhkan orang lain di sebalik isu panas ini. Tuduhan yang tidak matang dan merapu itu hanya akan menampakkan sisi ‘tidak cerdik’ anda.

Tampil mengulas tentang isu tersebut, Anwar menyifatkan kenyataan Teresa adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili kerajaan.

“Dia mewakili pandangan individu (peribadi) walaupun ada cadangan ada ‘concern’ bawa dalaman mesyuarat PH dan Kabinet akan teliti tidak payah buat begini,” kata beliau ketika hadir merasmikan kawasan Rehat dan Rawat Seremban (Arah Selatan), Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Anwar turut menegaskan segala isu yang timbul perlulah dibincang dan bukannya dengan mengganggu sentimen orang Islam.

“Ini menimbulkan kontroversi yang tidak relevan dalam masyarakat kita. Ada masalah, peraturan itu perlu supaya umat Islam tidak rasa waswas. Tapi kalau dia rasakan peraturan itu tidak diperlukan di kawasan tertentu. Bincang secara elok.

“Kalau dia nak wakili beberapa pihak tidak mengapa tapi tidak perlu kerana ia tidak membantu untuk menjernihkan keadaan. Kita kena jaga sentimen orang Islam dan bukan Islam,” kata beliau.

Anwar berkata isu berkenaan perlu dirundingkan secara baik serta tidak perlu menunjukkan kehebatan masing-masing.

“Negara kita sudah dalam keadaan baik sekarang, politik sudah stabil penghargaan dunia baik, ekonomi naik perlu apa perkara-perkara ini nak merosakkan,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan polis membuka kertas siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) terhadap Teresa membabitkan isu pensijilan halal yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Razarudin dilapor berkata siasatan terhadap Teresa dibuat susulan lima laporan diterima polis setakat ini, yang dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas