KENYATAAN Setiausaha Politik Perdana Menteri (SUPOL), Datuk Azman Abidin yang berpandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak perlu mewajibkan sijil halal kepada semua restoran yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol dilihat tepat.
Felo Majlis Profesor Negara dan Akademi Penyelidikan Nusantara (NASR), Azmi Hassan bersetuju dengan kenyataan Azman kerana menganggap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung pensijilan halal sebelum ini tidak lengkap.
“Beliau mengatakan sijil itu dikecualikan untuk restoran menjual babi dan arak.
“Tetapi hakikatnya banyak restoran yang dikunjungi orang Melayu daripada pengendali bukan Melayu yang tidak jual arak dan babi,” katanya.
Menurut Azmi lagi, kebanyakan restoran besar tidak mahu mendapatkan sijil halal kerana proses terlampau rumit dan ia meningkatkan kos.
Beliau berpandangan seharusnya pensijilan halal itu tidak dimestikan kepada setiap restoran.
“Cuma restoran, kalau mereka nak tarik pelanggan Melayu seharusnya ada pensijilan halal.
“Tetapi ikut kehendak semasa juga. Halal dan haram ikut keadaan pasaran. Ikut restoran mahu atau tidak,” katanya.
Portal Malaysiakini sebelum ini melaporkan Azman berpandangan JAKIM tidak perlu mewajibkan sijil halal kepada semua restoran yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol.
Walaupun mengalu-alukan cadangan itu, Azman berkata permohonan sijil halal adalah proses yang sukar.
Katanya lagi, JAKIM perlu mengkaji dengan lebih dalam sebelum mempertimbangkannya.
Isu ini diperkatakan selepas Na’im memaklumkan JAKIM sedang mempertimbangkan cadangan itu.
Namun ia dibantah Ali Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menyifatkan ia berisiko menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu. – WILAYAHKU