SETIAP peniaga perlu bijak dan kreatif dalam mengatur strategi terutama ketika mempromosikan produk berikutan persaingan sengit perniagaan dalam talian ketika ini.
Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FOBM), City Universiti Petaling Jaya, Nur Fadhlin Sakina Md Saad berkata pemasaran digital memerlukan strategi jelas yang disesuaikan dengan kumpulan sasar dan objektif perniagaan.
“Kegagalan membuat strategi dan mengenal pasti kumpulan sasar yang tepat akan membazirkan sumber tenaga serta kos kewangan kerana mengiklankan produk atau perkhidmatan kepada sasaran yang tidak tepat.
“Bagi saya, kunci bagi sesuatu perniagaan untuk mampu bertahan di pasaran dalam jangka masa panjang adalah kemampanan. Mereka harus tahu siapa target sasaran untuk menjadi pelanggan.
“Justeru itu, setiap peniaga perlu sentiasa bijak dalam mengatur langkah dan menetapkan keputusan selain perlu tahu cara menggunakan platform media sosial terutama dari segi pengiklanan, hebahan serta corak penulisan untuk menarik pembeli,” katanya.
Menurut Fadhlin, salah satu strategi pemasaran untuk meningkatkan jualan adalah melalui penggunaan platform digital seperti Shopee, Foodpanda, Grab, Instagram, Tiktok mahupun Facebok.
Katanya, aplikasi ini tidak hanya membantu peniaga memasar produk menggunakan gambar dan reviu malah mereka juga boleh membuat liputan langsung (live) di platform tersebut.
“Berdasarkan kajian analisis daripada E-Dagang Global Data mencatatkan pasaran e-dagang di Malaysia mempunyai anggaran pertumbuhan sebanyak 24.7 peratus pada tahun 2020.
“Secara tidak langsung, ia membuktikan bahawa perniagaan dalam talian mampu meningkatkan ekonomi masyarakat dan negara termasuklah peniaga kecil yang kini menggunakan platform tersebut sebaiknya,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadhlin berkata perniagaan dalam talian melibatkan media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok sememangnya telah membuka mata para usahawan untuk menggunakan platform tersebut sebagai medium mengembangkan perniagaan terutama ketika negara dilanda pandemik COVID-19.
“Pandemik telah membuka mata ramai peniaga tentang kelebihan melakukan perniagaan dalam talian kecenderungan ini dilihat berterusan apabila ramai peniaga yang mengakui platform tersebut bukan sahaja mudah dan menyenangkan malah ia juga menjimatkan kos seperti penyewaan tapak di kedai fizikal, kos upah tenaga kerja serta lain-lain,” jelasnya.
Ditanya mengenai perbandingan di antara perniagaan fizikal dan atas talian, Fadhlin berkata kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri dan sukar dibandingkan namun ia bergantung kepada individu untuk menilai.
“Bagi saya perniagaan secara fizikal ini kita boleh membina kepercayaan dalam kalangan pelanggan misalnya mereka boleh melihat dan menyentuh sendiri produk sedia ada tersebut selain boleh memilih mengikut cita rasa tersendiri.
“Kalau perniagaan dalam talian pula, pelanggan tidak perlu bersusah payah untuk ke kedai fizinal kerana peniaga turut menawarkan pelbagai barang namun bezanya mereka perlu membaca reviu untuk mengetahui respons pelanggan,” katanya. – WILAYAHKU