Berita

Kenal pencemar baru

SEKITAR operasi Ops Gempur yang dijalankan baru-baru ini
- Diterbit 9 Ogos 2024 11:00 AM MYT

JABATAN Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL)  mengeluarkan sebanyak 23 arahan lapangan, lima notis arahan, tiga tawaran kompaun dan tiga penyediaan kertas siasatan dalam Ops Gempur yang diadakan baru-baru ini.

JASWPKL dalam kenyataannya berkata operasi tersebut melibatkan 18 orang pegawai penguat kuasa yang  dibahagikan kepada lima pasukan.

“Tujuan Ops Gempur yang dijalankan ini adalah untuk menilai tahap pematuhan premis sedia ada yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dan mengenal pasti punca-punca pencemar  baru yang tiada dalam rekod Jabatan,” katanya.

Jelasnya lagi, antara premis yang digempur pada kali ini adalah premis mengumpul barang lusuh dan skrap metal yang disyaki menjalankan aktiviti peleraian buangan elektronik (SW 110).

“Sampel buangan terjadual telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisis. Jika disabitkan kesalahan premis boleh didakwa di bawah Akta Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) (Pindaan 2024).

“Premis lain yang turut digempur adalah loji rawatan kumbahan yang mempunyai nilai bilangan penduduk setara (PE) melebihi 150 yang tertakluk di bawah PPKAS (Kumbahan) 2009, kilang memproses makanan yang menghasilkan efluen yang tertakluk di bawah PPKAS (Efluen) 2009, bengkel servis kenderaan, makmal, pusat penyelidikan, pusat percetakan dan klinik yang tertakluk di bawah PPKAS (Buangan Terjadual) 2005.

“Sepanjang operasi ini, JASWPKL telah berjaya membuat pemeriksaan penguatkuasaan ke atas 23 premis,” ujarnya.

Dalam pada itu, JASWPKL turut mengharapkan dengan pelaksanaan Ops Gempur ini serta tindakan penguatkuasaan yang telah dijalankan dapat memberi mesej yang jelas kepada semua pihak untuk sentiasa mematuhi kehendak perundangan dan kepentingan alam sekitar.

Terdahulu, JASWPKL telah menjalankan penguatkuasaan Akta Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) (Pindaan 2024) dan Peraturan-Peraturan di bawahnya melalui Ops Gempur Julai 2024 pada 19 sehingga 25 Julai lalu dan turut melibatkan kerjasama dengan Unit Risikan/Operasi, Bahagian D4, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas