Berita

Kenaikan harga RON95 dijangka beri kesan minimum kepada inflasi

- Diterbit 6 Februari 2025 10:31 AM MYT

SEBARANG kenaikan harga di pam bagi RON95 dijangka akan memberi kesan kepada kadar inflasi, terutamanya melibatkan kumpulan Makanan dan kumpulan Pengangkutan.

Menurut Kementerian Ekonomi, kenaikan harga petrol secara tidak langsung akan turut meningkatkan kos logistik dan pengedaran bahan makanan, sekaligus memberi kesan kepada harga bahan makanan.
“Selain itu, pengguna kenderaan persendirian turut akan menerima kesan di atas kenaikan harga RON95.

“Namun, dijangka kesan tersebut tidak begitu ketara memandangkan 85 peratus rakyat masih menikmati subsidi bagi RON95,” katanya ketika menjawab soalan lisan Roy Angau Anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) di parlimen semalam.

Katanya, jangkaan ini berdasarkan kepada unjuran rasmi yang diterbitkan dalam Belanjawan 2025, iaitu peningkatan kadar inflasi dijangka hanya di antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus.

“Selain itu, Kerajaan turut mengunjurkan inflasi secara keseluruhannya kekal terkawal berikutan pemulihan dalam bekalan global serta penyederhanaan harga komoditi global,” katanya.

Kementerian Ekonomi memaklumkan bahawa kerajaan juga komited dalam memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 akan meliputi 85 peratus rakyat yang layak menerima subsidi.

“Langkah melaksanakan penyasaran subsidi dan bantuan sosial bertujuan untuk memastikan kedudukan fiskal yang lebih kukuh, sekaligus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam dan pembangunan sosioekonomi yang mampan,” katanya.

Jelasnya, pengiraan inflasi adalah berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur perubahan harga bakul barangan dan perkhidmatan yang dibeli oleh pengguna dalam negara.

“Bakul barangan tersebut mengandungi sebanyak 573 item barangan dan perkhidmatan yang dipilih serta dikelaskan mengikut 13 kumpulan utama dengan wajaran tertentu yang berdasarkan perbelanjaan bagi setiap kumpulan tersebut.

“Kadar inflasi Malaysia menyederhana serta kekal berada pada atau di bawah 2 peratus sejak Julai 2023. Pada bulan Disember 2024, kadar inflasi terus menyederhana dan merekodkan 1.7 peratus, manakala inflasi keseluruhan bagi tahun yang sama ialah sebanyak 1.8 peratus,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas