TREND kenaikan gaji mencerminkan tanda-tanda positif ekonomi negara pada masa kini serta dalam masa yang sama melahirkan pekerja yang lebih bersemangat sekali gus menambah produktiviti yang tinggi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenaikan gaji sebanyak sembilan peratus untuk pegawai bank di Semenanjung Malaysia seharusnya dapat menyuntik semangat dalam kalangan penjawat awam.
“Keputusan yang dibuat oleh Persatuan Bank-Bank Komersial Malaysia (MCBA) dan Persatuan Pegawai Bank Malaysia (ABOM) baru-baru ini memeterai perjanjian kolektif baharu (CA) akan memberi manfaat besar kepada pegawai bank di Semenanjung Malaysia.
“Apabila diberi insentif kenaikan gaji, ia mampu menterjemahkan satu bentuk motivasi untuk pekerja bekerja dengan lebih produktif berdedikasi.
“Selain mewujudkan kesetiaan kepada organisasi oleh pekerja-pekerja ia juga dapat melancarkan operasi sebuah syarikat termasuk dalam kes bank-bank terlibat.
“Apabila gaji ditingkatkan, ia juga mampu meningkatkan produktiviti kerja, sebagai pemangkin semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik.
“Apabila produktiviti semakin baik, maka ekonomi negara juga dapat berkembang dengan lebih positif,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.
Baru-baru ini media melaporkan, MCBA dan ABOM baru-baru ini memeterai perjanjian kolektif baharu yang akan memberi manfaat besar kepada pegawai bank di Semenanjung Malaysia.
Di bawah perjanjian ini, ahli ABOM bakal menikmati kenaikan gaji sebanyak 9.0 peratus, yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.
Perjanjian kolektif yang ke-15 ini meliputi tempoh 2024 hingga 2026, akan memberi kesan kepada sekitar 3,500 pegawai bank yang berkhidmat di 10 bank komersial di seluruh Semenanjung Malaysia.
Selain kenaikan gaji, perjanjian ini juga memperkenalkan beberapa manfaat tambahan termasuk bantuan tahunan perayaan dan elaun digital bulanan.
Tambah Mohd Afzanizam, impak positif dapat disaksikan daripada kenaikan gaji tersebut.
“Impak kenaikan gaji ini sebenarnya dapat memanfaatkan pekerja dan syarikat-syarikat apabila dibayar gaji setimpal dapat meningkatkan kemahiran dan kelayakan sekali gus mewujudkan suasana ekonomi yang positif.
“Bila ada kenaikan maka kuasa beli akan meningkat, ini memberi satu aktiviti yang baik dalam pasaran ekonomi domestik yang mampu meningkatkan pasaran ekonomi negara secara meluas,” ujarnya.
Kata beliau lagi, apabila ekonomi mula bergerak aktif, ia menunjukkan perkara positif yang dapat menarik minat pelabur asing untuk melakukan pelaburan dalam negara.
“Secara jangka panjang juga, bila ekonomi terus aktif sudah pastinya negara mempunyai kuasa kewangan yang kukuh serta mampu menarik minat pelabur asing untuk terus melabur.
“Selain merancakkan ekonomi, faktor tersebut juga akan meningkatkan daya saing dan pelabur untuk membeli instrumen kewangan seperti pasaran saham, bond dan macam-macam lagi. Malahan ia juga dapat meningkatkan nilai ringgit itu sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, media turut melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa syarikat-syarikat swasta untuk mencontohi langkah Khazanah Nasional Berhad menetapkan gaji minimum RM3,000 sebulan untuk pekerjanya.
“Syarikat-syarikat swasta lain boleh menjadikan Khazanah sebagai satu penanda aras namun bergantung kepada kedudukan kewangan sesebuah syarikat.
“Insentif yang dilaksanakan Khazanah boleh dijadikan sebagai sebuah penanda aras syarikat-syarikat lain namun kedudukan kewangan syarikat juga perlu diambil kira.
“Selain itu, ia juga mampu untuk menarik perhatian bakat-bakat yang baik serta berkualiti tinggi sekali gus meningkatkan produktiviti sesebuah syarikat tersebut.
“Untuk menarik bakat-bakat berkualiti tinggi, nilai gaji yang positif juga menjadi ukuran atau penanda aras di dalam pasaran buruh,” ujarnya. – WILAYAHKU