PENJAWAT awam menarik nafas lega ekoran pelarasan gaji baharu pada bulan ini. Pelaksanaan pemberian tersebut dilakukan secara berfasa iaitu pada 1 Disember dan 1 Januari 2026.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan sebanyak 15 peratus untuk pegawai kumpulan pelaksana dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional.
Sementara itu, bagi pegawai kumpulan pengurusan tertinggi pula bakal menerima kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus.
Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Disember 2024 menyaksikan kumpulan pelaksana menikmati pelarasan gaji tertinggi sehingga 42.7 peratus manakala tujuh peratus bagi kumpulan pengurusan tertinggi.
Wilayahku meninjau pandangan serta suara hati mereka yang rata-ratanya berpuas hati dengan penantian selama 12 tahun untuk menikmati kadar gaji yang baharu.
—
“SAYA mula berkhidmat sebagai penjawat awam pada tahun 2021, bagi saya kenaikan gaji yang diumumkan adalah satu suntikan motivasi kepada semua penjawat awam untuk melaksanakan kerja dengan lebih dedikasi lagi.
“Pelarasan ini juga menampakkan pihak kerajaan yang sentiasa cakna dan mengambil berat sekali gus membuatkan kami rasa begitu dihargai.
“Terima kasih yang tidak terhingga kerana mendengar suara kakitangan kerajaan. Semoga limpahan rezeki ini turut membawa kebaikan kepada masyarakat”
FARAHIYAH MOHD NAWAWI
—
“SELAMA sembilan tahun berkhidmat sebagai penjawat awam, saya rasa memang wajar kenaikan gaji dibuat kerana telah lama tiada pelarasan. Saya kira ini adalah ekstra bonus yang sangat dinantikan. Ia sangat membantu memberi kualiti hidup yang lebih bermakna.
“Dengan penambahan ini saya akan membelanjakannya dengan berhemat sudah semestinya untuk keperluan keluarga.
“Terima kasih kepada kerajaan hari ini yang begitu mengambil berat terhadap kebajikan kakitangan awam.”
NOOR DIYANA MOHAMAD ZAMRI
—
“SAYA sangat menyokong SSPA kerana ia merupakan bonus kepada penjawat awam seperti kenaikan gaji dan sebagainya. Bagi saya setiap perubahan yang dilakukan adalah usaha yang perlu disokong kerana ia tidak lain hanyalah untuk memastikan agar ia lebih baik daripada sebelum ini.
“Malah, kita juga boleh lihat dengan jelas Belanjawan 2025 baru-baru ini menyaksikan penjawat awam menerima banyak manfaat dan sentiasa menjadi tumpuan kerajaan.”
CHE NOR AZIAN YUSOFF
—
“INI merupakan masa yang tepat di mana pelarasan gaji mendatangkan banyak kelebihan bukan sahaja kepada kakitangan itu sendiri bahkan memberi kesan yang baik kepada ekonomi. Kenaikan gaji membolehkan penjawat awam berbelanja dan akan merancakkan aktiviti ekonomi.
“Ditambah lagi, pada tahun hadapan, kita akan menyambut perayaan pada awal tahun selain sesi persekolahan yang baru akan bermula, jadi saya rasa, ini adalah satu bantuan yang sangat disyukuri kerana dapat membantu mengurangkan beban.”
FADZLEY IRZAD MISNANI
—
“PENGUMUMAN Perdana Menteri berkaitan kenaikan gaji melalui SSPA merupakan antara langkah pemantapan ketika persaraan serta sebagai elemen penambahbaikan dalam kerjaya kita dan ia merupakan perkara yang sangat bagus dan ditunggu-tunggu oleh penjawat awam.
“Saya sudah berkhidmat selama 22 tahun sebagai penjawat awam dan secara jujurnya pengumuman kenaikan gaji itu sedikit sebanyak membantu ekonomi para penjawat awam dan ia akan memberi impak kepada pihak yang lain juga.
“Diharapkan dengan pengumuman ini juga menjadi pembakar semangat buat kami untuk terus menampilkan prestasi terbaik untuk negara.
“Saya juga mengharapkan pihak kerajaan terus memandang kebajikan kepada seluruh rakyat.”
DIANTY HUSSAIN
—
“SEBAGAI penjawat awam, kita menyokong apa sahaja cadangan baik daripada pihak kerajaan dan kenaikan gaji itu juga tidak merugikan mana-mana pihak sebaliknya lebih ke arah kebaikan.”
MOHD HANAPIAH ABDUL MAJID
—
“TERIMA kasih kepada PMX kerana sudah membantu rakyat terutamanya penjawat awam menerusi pelarasan gaji yang diumumkan baru-baru ini di mana dengan gaji baharu ini juga ia akan membantu meringankan beban saya dan keluarga.
“Selain itu, ia memudahkan urusan saya untuk membayar segala komitmen dan tunggakan yang ada seperti bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan lain-lain.
“Saya begitu teruja untuk menantikan kenaikan pada bulan ini. Semoga urusan semua kakitangan kerajaan dipermudahkan oleh Allah SWT.”
TUAN NUR SYAFIQAH TUAN MUHAMMAD
—
“SAYA sudah berkhidmat selama 11 tahun sebagai penjawat awam dan dengan kenaikan gaji yang bakal dinikmati Disember ini akan memberi manfaat yang besar buat golongan bawahan khususnya kerana pendapatan yang ada kini tidaklah sebesar mana.
“Tambahan pula itu adalah kenaikan terbesar yang pernah diumumkan berbanding sebelum ini pastinya ia akan membawa kesan positif kepada kesejahteraan ekonomi kakitangan awam di seluruh negara.
“Alhamdulillah semua rakan sekerja begitu gembira setelah mendengar perkhabaran gembira yang diumumkan baru-baru ini. Diharapkan pada masa akan datang, lebih banyak manfaat yang bakal diberikan kepada rakyat.
“Ia juga akan memberi motivasi kepada kami untuk terus berkhidmat dengan cemerlang kepada masyarakat.”
NORHILA AZMAN MOHD SIDEK
—
“TERIMA kasih banyak diucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sentiasa membantu penjawat awam dari segi ekonomi dan pastinya kenaikan gaji ini juga akan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat terutama peniaga kerana kuasa beli pengguna turut meningkat.
“Sekurang-kurangnya kenaikan gaji ini membolehkan kami membeli barang keperluan, lebih-lebih lagi di saat harga barangan naik sekali gus ia juga akan membantu ekonomi pengusaha kecil.
“Ini merupakan sinar baharu bagi kami setelah sekian lama menanti khabar gembira. Tahun 2025 membuka lembaran baharu yang lebih bermakna kepada penjawat awam.”
MACRINA MARCUS
—
“ALHAMDULILLAH, dengan adanya pelarasan ini kuranglah sedikit komitmen bulanan. Ini adalah rezeki yang tidak disangka-sangka memandangkan saya baru sahaja membeli rumah. Sekurang-kurangnya dapatlah membayar kos penyelenggaraan bulanan.
“Jika tidak pun, saya akan menggunakannya untuk membayar cukai tahunan.
“Selain itu, pada tahun hadapan, ketiga-tiga anak saya akan bersekolah, jadi dengan adanya gaji baharu ini sangatlah membantu kami suami isteri dalam menyediakan kelengkapan serta membayar yuran persekolahan.”
NOR AZREEN ZAINAL ABIDIN
—
“SETIAP pengumuman oleh kerajaan disambut baik oleh para penjawat awam kerana bagi saya, ia membawa manfaat yang besar kepada kami.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sentiasa mengambil berat kebajikan kakitangan awam. Ini merupakan bonus yang amat ditunggu-tunggu lebih-lebih lagi bagi kakitangan kumpulan pelaksana.
“kenaikan gaji ini juga memberi saya ruang dan peluang bahawa mungkin sudah tiba masanya untuk saya membeli kediaman sendiri yang lebih selesa memandangkan keluarga juga sudah semakin besar.”
ZAINURULAZMA RAHMAT
– WILAYAHKU