Berita

Kenaikan gaji penjawat awam: JWP pergiat pantau harga barang

HARGA barangan akan terus dipantau susulan penyelarasan gaji penjawat awam.
- Diterbit 16 Disember 2024 5:30 PM MYT

JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) akan terus memantau dan mempergiatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan di pulau ini bagi memastikan tiada kenaikan harga barang susulan penyelarasan gaji sektor awam pada Disember ini.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, penguatkuasaan perlu dipergiatkan agar tiada peniaga sewenang-wenangnya menaikkan harga barang susulan penyelarasan gaji penjawat awam.

Katanya, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melaksanakan pemantauan terhadap harga barangan di pulau itu.

Langkah sedemikian adalah bertujuan bagi memastikan kestabilan harga barangan susulan kebergantungan bekalan barangan terhadap barangan import serta dapat membantu golongan berpendapatan rendah (B40) di Labuan.

“Berdasarkan sudut itu, kita akan meneruskan usaha yang telah dilaksanakan seperti Program Jualan Rahmah yang dianjurkan oleh KPDN dan selain itu kita di JWP akan meneruskan program-program membantu rakyat iaitu MyGrocer @        Wilayah yang akan dipertingkatkan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan agar golongan B40 dapat dibantu,” katanya kepada pemberita pada lawatan kerja ke Labuan.

Tambah beliau, pihaknya akan melaksanakan satu program berdaya mampan bagi mengatasi dan mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan rantai makanan sekali gus dapat mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti di Labuan.

“Ini sedang dalam perancangan dan terdapat juga usaha yang sama telah kita laksanakan. Ia bertujuan untuk meningkatkan produktiviti tempatan seperti barangan keperluan harian dan bekalan mentah, pada masa yang sama tidak hanya bergantung kepada bekalan makanan dari luar.

“Kita juga akan memberikan tumpuan kepada program-program komuniti untuk membantu komuniti di sini menghasilkan bekalan mentah seperti sayur-sayuran dan dapat dipasarkan di sekitar Labuan dengan kadar harga yang lebih rendah berbanding bekalan daripada luar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain memaklumkan pihaknya sentiasa memberikan kerjasama erat dengan pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan pemantauan kawalan harga barang di pulau ini dilaksanakan secara konsisten agar tiada berlakunya kenaikan harga barang khususnya barangan harian dan keperluan.

Katanya, sejurus pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penyelarasan gaji, KPDN telah melaksanakan tindakan awal bagi merekodkan data harga barangan untuk memudahkan KPDN mengesan berlakunya perubahan harga. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas