PELARASAN gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dilihat mampu melonjak ekonomi negara, kata Penganalisis Politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Bilcher Bala.
Beliau berkata kenaikan gaji itu boleh menggerakkan aktiviti ekonomi lebih agresif melalui langkah penjawat awam berbelanja.
“Penjawat awam juga boleh melabur gaji mereka dalam saham kerajaan bukannya untuk simpanan bank swasta,” katanya kepada Wilayahku.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).
Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.
Anwar membuat pengumuman itu pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024.
Anwar berkata pelarasan gaji bagi pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah sebanyak lapan peratus pada Fasa 1 dan tujuh peratus pada Fasa 2 manakala untuk KPT adalah 4 peratus bagi Fasa 1 dan 3 peratus bagi Fasa 2.
Mengulas lanjut, Bilcher berkata dengan pelaksanaan gaji baharu yang mengatasi paras kemiskinan dapat memberi peluang pejawat awam kumpulan pelaksana untuk layak membayar cukai.
Beliau berkata kerajaan dapat menambah pendapatan negara yang lebih tinggi melalui kutipan cukai pendapatan individu pada masa akan datang.
“Selama ini golongan penjawat awam kumpulan pelaksana iaitu gred 40 ke bawah terima gaji sangat rendah yang secara tidak langsung sama ada membayar cukai yang amat rendah atau langsung tidak layak membayar cukai,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata kerajaan perlu melihat semula rangka kerja menyeluruh menangani isu integriti dan rasuah.
Beliau berkata ini sesuai dan seiring perkembangan zaman dan teknologi.
Menurutnya, struktur ekonomi penjawat awam telah ditangani dengan kenaikan gaji oleh Anwar.
Bagaimanapun, struktur undang-undang lapuk perlu dikaji sesuai dengan perubahan dan keperluan sebenar.
“Ini bagi menangani punca-punca dan cara menangani secara undang-undang dengan lebih kemas kini,” katanya.
Dalam pada itu, Awang Azman berkata jawatan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) perlu diaktifkan dan mendapat dukungan besar sesuai dengan tekad reformasi penjawat awam idaman Anwar.
“Ketua Setiausaha Negara (KSN) perlu pastikan GIACC menjadi institusi semak dan imbang kepada penjawat awam khususnya dalam mencegah dan membanteras rasuah dalam kalangan elit teknokrat negara,” katanya.
Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata penghargaan perlu diberikan kepada penjawat awam berikutan sebelum ini menerima gaji tidak setimpal dengan kerja mereka.
Beliau berkata reformasi dalam penjawat awam soal kedua, tetapi sebaliknya perlu menghargai pengorbanan penjawat awam.
“Ramai yang tidak berpuas hati dengan kenaikan penjawat awam tetapi perlu dilihat mereka menerima gaji tidak setimpal berbanding rakan mereka yang bekerja di swasta,” katanya. – WILAYAHKU