Berita

Kenaikan gaji penjawat awam: Angkat martabat kakitangan bergaji rendah

- Diterbit 6 Disember 2024 7:05 PM MYT

KENAIKAN gaji penjawat awam bermula 1 Disember lalu amat dihargai dan disambut baik oleh golongan pendidik.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah meluluskan kenaikan gaji penjawat awam dan mengekalkan timebase kepada kaum guru.

“Kenaikan ini sudah tentunya amat dihargai oleh semua penjawat awam terutama golongan pendidik  yang merupakan kumpulan yang paling ramai dalam sektor awam.

“Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) merupakan satu komitmen kerajaan untuk menghargai sumbangan penjawat awam dalam membantu mengurus dan menyediakan sumber tenaga manusia bagi kemajuan ekonomi negara pada masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini, seramai 85 peratus penjawat awam dilaporkan sudah menandatangani opsyen SSPA, empat hari sebelum ia berakhir pada Jumaat lalu.

Pelaksanaan SSPA yang menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Disember 2024 menyaksikan kumpulan pelaksana menikmati pelarasan gaji tertinggi sehingga 42.7 peratus manakala tujuh peratus bagi kumpulan pengurusan tertinggi.

Mengulas lanjut, katanya, SSPA adalah sistem saraan yang menyeluruh dan mengangkat martabat penjawat awam terutama  bagi mereka yang selama ini mendapat gaji di bawah RM1,700.

Pada 2 Disember lalu, Anwar menggesa penjawat awam meningkatkan prestasi selaras dengan kenaikan gaji pada bulan ini susulan pelaksanaan SSPA yang berkuat kuasa pada 1 Disember lalu.

Beliau berkata, prestasi cemerlang diperlukan memandangkan rakyat mengharapkan perkhidmatan yang lebih baik daripada sektor awam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan bersetuju dengan pelaksanaan kenaikan gaji yang bertujuan mengiktiraf kakitangan penjawat awam.

Kenaikan gaji itu juga adalah sesuatu yang adil untuk diberikan namun rakyat sentiasa mahu melihat perubahan pada seluruh sistem perkhidmatan awam sama ada peringkat akar umbi mahupun kementerian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas