AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi GiG Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menyambut baik keputusan Kerajaan MADANI bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
Beliau berkata langkah itu tepat bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Bagi gaji minima kali ini kita setuju,” katanya.
Pengumuman kenaikan gaji minima itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja.
Anwar berkata Dasar Gaji Progresif ialah ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja.
Beliau berkata dasar itu sudah mula dilaksana secara rintis pada Jun lalu dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun hadapan.
Dasar Gaji Progresif diperuntukkan RM200 juta dan akan memanfaatkan 50,000 pekerja.
Sementara itu, Sharkar berkata bagaimanapun beliau mencadangkan agar gaji minima itu dinaikkan kepada RM2,500 atau RM3,000 pada masa akan datang.
Beliau berkata ini memadai bagi mereka yang tinggal di bandar seperti Kuala Lumpur.
“Akan datang dicadangkan naik kepada RM2,500 hingga RM3,000 kerana akan datang kos sara hidup semakin meningkat,” katanya. – WILAYAHKU