Artikel

Kenaikan gaji kena selari prestasi

ANWAR menerima buku Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Laporan Akhir Fasa 1 daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN)‚ Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar pada MAPPA XIX.
- Diterbit 9 Disember 2024 3:59 PM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

KAKITANGAN awam atau penjawat awam akan menikmati kenaikan satu gaji tahunan berkuat kuasa Disember 2024 sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Rabu – 1 Mei 2024.

Pemberian kenaikan gaji menurut Anwar adalah sebagai menghargai jasa dan pengorbanan serta penat lelah para penjawat awam seramai dua juta sebagai kawan setia kerajaan. Kenaikan gaji akan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM10 bilion.

Dalam perkembangan sama, kerajaan juga tidak melupakan penjawat awam di Sabah dan Sarawak yang akan mendapat manfaat daripada penyelarasan Akta Kerja 1955 yang terpakai di Semenanjung Malaysia yang akan dibentang dan dipinda pada sidang Parlimen akan datang.

Pada 16 Ogos 2024 dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 (MAPPA XIX) di PICC Putrajaya, Perdana Menteri telah mengumumkan pelarasan gaji 15 peratus kepada kumpulan Pelaksana serta Pengurusan dan Profesional manakala tujuh peratus bagi kumpulan pengurusan tertinggi.

Ekoran kenaikan gaji itu, PMX menggesa penjawat awam meningkatkan prestasi selaras dengan kenaikan gaji susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Disember lepas.

Beliau berkata, prestasi cemerlang diperlukan memandangkan rakyat mengharapkan perkhidmatan yang lebih baik daripada sektor awam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, kerajaan bersetuju dengan pelaksanaan kenaikan gaji yang bertujuan mengiktiraf kakitangan penjawat awam.

Kenaikan gaji itu juga adalah sesuatu yang adil untuk diberikan namun rakyat sentiasa mahu melihat perubahan pada seluruh sistem perkhidmatan awam sama ada peringkat akar umbi mahupun kementerian.

“Seperti yang kita janjikan. Tahniah kepada yang dapat kenaikan, tapi saya hanya mengharapkan, prestasi yang jauh lebih baik kerana rakyat mengharapkan sesuatu yang lebih baik.

“Dan ada beberapa langkah oleh KSN untuk memperkenalkan pembaharuan perkhidmatan awam, saya harap ia mendapat sokongan penuh kerana orang mahu lihat di peringkat akar umbi, di daerahnya, di kementeriannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, Isnin lalu.

Di samping kenaikan gaji kakitangan awam, kakitangan swasta juga akan menikmati kenaikan gaji yang sama. Ia dilakukan dengan pendekatan Dasar Gaji Progresif sebagaimana yang telah diumumkan oleh PMX.

Dasar Gaji Progresif (DGP) akan dilaksanakan secara penuh bermula 2025, dengan peruntukan RM200 juta bagi 2025 yang akan memanfaatkan sekitar 50,000 pekerja swasta yang layak.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, kerajaan memberi tumpuan untuk menaikkan gaji pekerja sektor formal melalui tiga kaedah: kenaikan gaji kakitangan awam yang telah berlaku, kenaikan gaji minima dan gaji progresif akan dilaksanakan secara penuh bermula tahun 2025.

Katanya, projek rintis telah dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bermula Jun sehingga Disember 2024 untuk kita mendapatkan pengesahan awal kesan pelaksanaan gaji progresif kepada 1,000 syarikat swasta yang disasarkan.

Menurut Rafizi, hasil daripada projek rintis itu, kesan skim gaji progresif kepada pekerja-pekerja dari syarikat yang turut serta adalah seperti berikut:

Bagi gaji permulaan, pekerja mengalami kenaikan gaji RM250 seorang sebulan, iaitu median gaji progresif RM2,200 berbanding dengan median gaji asal (yang ditawarkan majikan sebelum gaji progresif) sebanyak RM1,950.

Bagi pekerja yang berpengalaman, yang sudah bekerja selama tiga tahun, lima tahun dan sebagainya yang diukur berdasarkan gaji tahunan, peningkatan gaji di bawah skim gaji progresif sebanyak RM200 seorang sebulan, iaitu median gaji progresif RM2,400 berbanding dengan median gaji (sebelum gaji progresif) sebanyak RM2,200 sebulan.

Skim Gaji Progresif ini akan dilaksanakan secara meluas bermula 2025 ini dan kumpulan sasaran yang seterusnya ialah 50,000 orang pekerja swasta yang menjadi kumpulan seterusnya dan setiap tahun kita berharap dengan kedudukan kewangan yang lebih baik, lebih ramai pekerja swasta yang akan mendapat manfaat, kata Rafizi.

Kenaikan gaji penjawat awam dan swasta sudah tentu diperhatikan oleh orang awam di negara ini. Bagi golongan peniaga, inilah masanya mereka menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka.

Ekoran itu, ada yang mendakwa, kos harga barang akan meningkat dengan kenaikan gaji penjawat awam ini.

Kita yakin, kerajaan khasnya Kementerian Ekonomi mengkaji dan menilai dengan terperinci skim gaji penjawat awam dan swasta ini sebelum ianya dilaksanakan.

Sudah tentu impak kepada negara dan rakyat keseluruhannya akan dinilai sepenuhnya sebelum ia dilaksanakan.

Semoga kita semua mendapat limpahan rezeki yang melimpah ruah selepas ini dan akan sampai kepada semua orang.

 SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas