Berita

Kemudahan pertukaran anak kapal ASB, pacu ekonomi Labuan

- Diterbit 22 Januari 2025 6:18 PM MYT

PEMBUKAAN Kemudahan Pusat Embarkasi Pertukaran Anak Kapal yang telah diwartakan beroperasi di Asian Supply Base (ASB) di sini akan menjadi satu game changer memacu ekonomi Labuan.

Menurut Pengerusi ASB, Datuk Suhaili Abd Rahman, pengoperasian kemudahan itu bukan sahaja dapat memberikan kesan positif kepada ekonomi malahan mampu meningkatkan nama Labuan itu sendiri dalam sektor minyak dan gas.

Katanya, dengan adanya kemudahan tersebut ia turut dijangka merangsang perniagaan tempatan, mewujudkan pekerjaan peluang, dan menarik pelaburan lanjut daripada pemain tenaga global dan serantau, mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai hab logistik luar pesisir yang lebih berdaya saing.

“Ini adalah berita baik kepada Labuan seperti pengusaha hotel, restoran dan pembekal makanan yang boleh membekalkan keperluan kepada semua anak kapal yang masuk ke Labuan.

“Berkat sokongan Kerajaan Negeri Sabah dan agensi-agensi terlibat aktiviti pertukaran anak kapal ini sudah kembali ke Labuan dan diwartakan Kementerian Dalam Negeri sebagai sebagai pintu masuk untuk pemegang pas kerja yang dikeluarkan oleh Pengarah Imigresen Sabah bagi industri minyak dan gas,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kemudahan itu di Wisma ASB, pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ASB Japar Esteban, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib.

Mengulas lanjut, Suhaili turut memaklumkan bagi memastikan kemudahan yang lebih selesa dan efisien, Kerajaan Negeri Sabah telah meluluskan peruntukan RM25 juta menerusi dana dalaman ASB bagi membangunkan kemudahan pertukaran anak kapal sendiri.

Katanya, projek itu dijangka siap selewat-lewatnya pada November ini dan ianya akan menjadi antara kemudahan pertukaran anak kapal termoden di negara ini.

“sekitar 4,000 anak-anak kapal akan menggunakan kemudahan itu dalam seminggu dan jumlahnya dijangka bertambah dari masa ke masa,”katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas