Berita

Kemudahan ATM di DUN Nenggiri akan disegerakan

- Diterbit 10 Ogos 2024 4:49 PM MYT

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) akan menyegerakan pengaktifan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, Kelantan bagi memenuhi keperluan asas rakyat di kawasan tersebut.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata ini susulan perbincangan pihaknya dengan beberapa bank tempatan mendapat respons positif susulan kesukaran pendidikan di DUN Nenggiri mendapatkan akses ATM.

“MOF mengambil maklum laporan kesukaran penduduk DUN Nenggiri yang perlu ke Gua Musang yang terletak sejauh 50 kilometer (km) dari kawasan mereka untuk guna ATM.

“Pengaktifan perkhidmatan ATM ini akan disegerakan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat dan usaha ini akan diperluas bagi memastikan semua rakyat dapat menerima kemudahan asas ini,” kata kementerian itu.

Tambah, MOF, dalam kenyataan sama berkata, pihaknya juga akan mengadakan sesi libat urus dengan bank-bank tempatan secara berterusan bagi mengenal pasti penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.

MOF berkata ini terutama dalam memastikan akses kepada perkhidmatan ini dapat diperluaskan.

Katanya, orang ramai yang menghadapi kesukaran seumpama ini di kawasan mereka boleh menghubungi MOF melalui [email protected] atau talian 03-8000 8000. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas