Berita

Kempen Sifar Sisa kurangkan pembaziran

KEMPEN Sifar Sisa@Bazar Ramadan: DBKL sasar selamatkan 10,000kg lebihan makanan.
- Diterbit 24 Mac 2025 12:47 PM MYT
DENGAN jumlah sisa pepejal yang meningkat setiap kali Ramadan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Kempen Sifar Sisa @ Bazar Ramadan bagi mengurangkan pembaziran makanan dan penggunaan plastik sekali guna.

Kempen anjuran Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) DBKL itu bertujuan memastikan bazar Ramadan di ibu kota lebih mesra alam dengan menggalakkan penggunaan produk biodegradasi dan bekas makanan guna semula dalam kalangan peniaga serta pengunjung.

Menurut DBKL, salah satu inisiatif utama kempen ini ialah Program MySaveFood, yang dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Sisa Pepejal (SWCorp) dan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia.

Menerusi program ini, lebihan makanan yang masih selamat dimakan dikumpulkan dan diagihkan kepada golongan memerlukan, sekali gus mengurangkan jumlah sisa makanan yang berakhir di tapak pelupusan.

“Dilaksanakan dari 5 hingga 16 Mac 2025 di 12 lokasi bazar Ramadan terpilih sekitar Kuala Lumpur, program ini menyasarkan penyelamatan sekurang-kurangnya 10,000 kilogram (kg) lebihan makanan.

“Antara lokasi yang terlibat termasuk Bazar Jalan Wangsa Delima, Wangsa Maju; Bazar Sri Rampai; Bazar Kampung Baru (Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Uda); Bazar Danau Kota; Bazar Desa Pandan dan banyak lagi,” katanya.

Menurut DBKL setakat 12 Mac, sebanyak 4,869.22kg lebihan makanan bernilai RM107,190 berjaya dikumpulkan dan disalurkan kepada penerima yang memerlukan.

DBKL berkata kempen ini turut mendapat sokongan daripada sukarelawan institut pengajian tinggi (IPT) di bawah GEMA, yang bukan sahaja membantu dalam pengagihan makanan tetapi juga berperanan menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan mengurangkan pembaziran makanan.

Jelas DBKL inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan, tetapi juga mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal yang semakin meningkat saban tahun.

“Kita mahu membentuk budaya masyarakat yang lebih bertanggungjawab dalam pengurusan makanan. Jika setiap individu memainkan peranan, kita dapat mengurangkan sisa makanan dan menjaga alam sekitar dengan lebih baik,” kata jurucakap DBKL.

Dengan inisiatif seperti ini, Kuala Lumpur semakin hampir ke arah menjadi bandar sifar sisa, selaras dengan matlamat kelestarian global. Jadi, kepada warga kota, sudah tiba masanya kita mengubah tabiat dan menyokong kempen ini untuk masa depan yang lebih hijau. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas