KEMPEN Kajang Bersih, Kajang Di Hatiku yang dilancarkan semalam merupakan satu permulaan untuk semua pihak menjadikan kebersihan diri dan sekitar sebagai tanggungjawab sepanjang masa, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Beliau berkata kebersihan adalah elemen yang sangat penting dalam kehidupan.
“Sesungguhnya tidak ada sesiapapun yang suka kepada keadaan sekeliling atau persekitaran yang kotor dan dipenuhi sampah.
“Seperti kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya,” katanya di Facebooknya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail turut hadir ke Majlis Perasmian Pelancaran Kempen Kajang Bersih, Kajang Di Hatiku di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang, Selangor.
Azman berharap kempen itu akan mencapai matlamat dan objektif yang ingin disampaikan iaitu menjadikan Kajang sebuah tempat yang bersih, selesa dan aman untuk didiami. – WILAYAHKU