Berita

Kempen BeST jadikan Wilayah Persekutuan bandar bersih dan sesuai diduduki

Gambar hiasan
- Diterbit 13 Januari 2025 11:54 AM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa akan melancarkan Kempen Bersih Setiap Tempat (BeST) di ketiga-tiga wilayahnya pada 19 Januari depan.

Kempen yang membabitkan 1,000 sukarelawan itu akan berlangsung di hadapan Pavilion Bukit Bintang.

“BeST akan diteruskan sepanjang tahun untuk memastikan Wilayah Persekutuan menjadi bandar yang sentiasa bersih dan sesuai diduduki,” katanya yang sempat membuat tinjauan di kawasan Bukit Bintang, malam tadi.

Zaliha yang meluangkan masa kurang lebih satu jam di kawasan tumpuan pelancong itu sempat memantau beberapa fasiliti di Jalan Bukit Bintang terutama laluan pejalan kaki dan penghalang laluan yang tidak selamat.

“Ada yang perlu diperbaiki dan saya akan minta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk kenal pasti dan ambil tindakan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Zaliha turut berkesempatan singgah ke Genji Busker dan beramah mesra dengan beberapa artis tempatan seperti Joey Daud, Amir Masdi dan Eric Floor 88. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas