Rencana

Kemiskinan bandar: Sabah tertinggi, Putrajaya 0.1%

KERAJAAN sentiasa memastikan kemiskinan bandar diatasi sewajarnya.
- Diterbit 7 Mac 2025 3:03 PM MYT

WILAYAH Persekutuan Putrajaya mencatatkan kadar kemiskinan bandar yang paling rendah iaitu pada kadar 0.1 peratus.

Demikian data dikongsikan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin kepada Wilayahku dengan Kuala Lumpur pula berada pada kadar 1.4 peratus.

Ia berdasarkan data terkini iaitu pada 2022, negeri yang mencatatkan kadar kemiskinan bandar tertinggi adalah Sabah dengan kadar 13.9 peratus. Ini diikuti oleh Kelantan (11.6%) dan Sarawak (8.3%).

Perbezaan kadar kemiskinan ini mencerminkan jurang ekonomi antara bandar utama dan bandar kecil serta negeri-negeri tertentu yang masih menghadapi cabaran dalam pembangunan ekonomi.

MOHD UZIR

Bercakap mengenai perkara itu, Mohd Uzir berpandangan bahawa statistik kemiskinan bandar di Malaysia dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini menunjukkan trend yang berbeza mengikut tahun.

Jelas beliau pada 2019, insiden kemiskinan mutlak di bandar adalah 3.8 peratus namun akibat impak pandemik COVID-19 yang menyebabkan gangguan ekonomi dan kehilangan pekerjaan, kadar ini meningkat kepada 4.5 peratus pada 2022.

“Dari perspektif kemiskinan tegar pula, kadar di kawasan bandar menurun daripada 0.2 peratus (2019) kepada 0.1 peratus (2022), menunjukkan sedikit peningkatan dalam tahap kesejahteraan isi rumah,” katanya.

Tambahnya berdasarkan konsep pengiraan Pendapatan Isi Rumah Malaysia yang digunakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), miskin bandar merujuk kepada isi rumah yang menetap di kawasan bandar tetapi mempunyai pendapatan yang berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya indikasi utama seseorang itu dikategorikan sebagai miskin bandar ialah apabila pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas kehidupan seperti makanan, tempat tinggal, kesihatan dan pendidikan.

Dalam konteks Malaysia katanya pengukuran kemiskinan mengambil kira kategori iaitu miskin tegar, kemiskinan mutlak dan kemiskinan relatif.

“Miskin tegar merujuk kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada PGK makanan.

“Isi rumah miskin tegar perlu diberikan tumpuan yang lebih dalam pemberian bantuan kerana mereka berdepan dengan pelbagai ancaman dan risiko pada tempoh semasa dan akan datang.

“Kemiskinan mutlak berlaku apabila pendapatan isi rumah berada di bawah PGK, manakala kemiskinan relatif merujuk kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada 50 peratus daripada median pendapatan isi rumah negara,” katanya.

Oleh yang demikian kategori miskin bandar secara umumnya melibatkan golongan yang tidak mampu memenuhi keperluan asas mereka dalam persekitaran sosioekonomi bandar yang memerlukan saraan kehidupan yang tinggi.

FAKTOR KEHILANGAN PEKERJAAN

Ditanya mengenai faktor-faktor berlakunya kemiskinan bandar, beliau memberitahu insiden kemiskinan bandar boleh berpunca daripada pelbagai faktor, antaranya ialah ketidakstabilan pendapatan disebabkan kehilangan pekerjaan, bekerja di bidang yang lebih rendah daripada kelayakan dengan gaji yang lebih rendah dan kos sara hidup yang tinggi.

Kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 memberi kesan ketara kepada ramai penduduk bandar mahupun luar bandar.

Namun demikian secara beransur-ansur terdapat pemulihan kepada pendapatan isi rumah, seiring dengan aktiviti ekonomi yang lebih rancak dan disertai dengan inisiatif bantuan kerajaan bagi menangani kenaikan kos sara hidup.

“Bagi menangani isu gaji yang rendah, inisiatif kerajaan dengan memperkenalkan Dasar Gaji Progresif dan kenaikan aras gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 mulai Februari ini dijangka meningkatkan pendapatan pekerja dan isi rumah.

“Dari satu sudut lain, DOSM telah menyusun dan menerbitkan indikator kos sara hidup khususnya Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang ditakrifkan sebagai satu amaun perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah untuk menjalani kehidupan wajar yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak termasuk penyertaan dalam aktiviti sosial dan masyarakat,” katanya.

PAKW menurutnya boleh dimanfaatkan sebagai satu pengukuran bermanfaat seperti:
– Memberi gambaran yang lebih jelas mengenai kemampuan isi rumah dalam menjalani kehidupan wajar;
– Memperjelas tentang kos sara hidup di kawasan yang berbeza antara negeri, sama ada di bandar atau luar bandar;
– Menyokong peralihan konsep daripada pendapatan kasar kepada pendapatan boleh guna bersih;
– Menjadi indikator dalam perancangan dan pembangunan sosioekonomi dan perancangan penentuan gaji yang lebih adil; dan
– Membantu individu dan keluarga merancang perbelanjaan dan pengurusan kewangan isi rumah.

KENAIKAN KOS SARA HIDUP

Dalam pada itu Mohd Uzir menegaskan bahawa miskin bandar mempunyai hubungan yang rapat dengan kenaikan kos sara hidup.

Memandangkan kehidupan di bandar melibatkan kos perumahan, makanan, pengangkutan dan utiliti yang lebih tinggi, jelas beliau isi rumah berpendapatan rendah terkesan secara langsung apabila harga barangan dan perkhidmatan meningkat.

“Sebagai contoh, peningkatan harga barangan keperluan asas seperti makanan, sewa rumah dan bahan api memberi tekanan kepada kewangan isi rumah miskin yang sudah bergelut dengan pendapatan yang terhad.

“Data menunjukkan bahawa purata PGK bukan makanan meningkat secara signifikan, terutamanya dalam kategori perumahan dan pengangkutan. Kos perumahan, sebagai contoh, meningkat daripada RM257 pada 2019 kepada RM459 (2022), manakala kos pengangkutan dan lain-lain meningkat daripada RM178 kepada RM257 dalam tempoh yang sama,” katanya.

Jelasnya selain itu, kenaikan harga barang juga menghakis kuasa beli isi rumah miskin, menyebabkan mereka terpaksa mengurangkan perbelanjaan keperluan lain seperti pendidikan dan kesihatan.

“Fenomena ini seterusnya meningkatkan risiko mereka untuk terus kekal dalam kitaran kemiskinan tanpa peluang mobiliti sosial yang lebih baik,” katanya.

Mengenai pandangan DOSM terhadap bantuan-bantuan diumumkan kerajaan dalam menangani isu miskin bandar, Mohd Uzir berkata pelbagai inisiatif kerajaan telah diperkenalkan untuk membantu menangani isu kemiskinan bandar, antaranya ialah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta subsidi untuk makanan asas dan perumahan.

“Kerajaan juga menyediakan inisiatif seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi memastikan golongan miskin bandar mempunyai akses kepada kediaman mampu milik,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas