KEMENTERIAN Pertahanan sentiasa komited dalam mengesan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berdaftar melalui persatuan-persatuan veteran di setiap daerah dan negeri.
Menurut kementerian itu, ia dilaksanakan melalui Jabatan Hal Ehwan Veteran (JHEV) ATM termasuk menggunakan aplikasi media sosial.
“Kementerian juga menggesa veteran yang masih belum mendaftar untuk berbuat demikian dengan segera.
“Ini bagi membolehkan penyampaian maklumat dan bantuan kebajikan dapat disalurkan dengan lebih berkesan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai usaha dilaksanakan dalam mengesan veteran ATM yang tidak berdaftar supaya mereka dapat menikmati faedah JHEV.
Kementerian Pertahanan menambah, berdasarkan rekod terkini sehingga September lalu, jumlah keseluruhan veteran ATM yang berdaftar dengan JHEV ATM adalah seramai 216,182 orang.
Katanya, ia terdiri daripada 113,683 veteran berpencen, 71,561 veteran tidak berpencen dan 30,938 penerima pencen terbitan. – WILAYAHKU