Berita

Kementerian Luar Negeri gerak Skuad Ihsan MADANI

- Diterbit 22 Disember 2024 11:32 PM MYT

KEMENTERIAN Luar Negeri (KLN) menggerakkan Skuad Ihsan MADANI KLN bagi melaksanakan misi pengurusan pasca banjir di kawasan-kawasan terjejas.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin menyempurnakan Majlis Pelancaran Skuad Ihsan MADANI KLN yang dihadiri pegawai dan kakitangan KLN.

“Skuad Ihsan MADANI KLN terdiri daripada 60 orang warga kementerian yang dibentuk bagi menyahut seruan Pelaksanaan Pasukan Sukarelawan Penjawat Awam Skuad Ihsan MADANI.

“(Ini) bagi Pengurusan Pasca Banjir selaras dengan arahan mobilasi oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azribin Abu Bakar dalam memperkasa peranan pasukan sukarelawan penjawat awam dalam pengurusan pasca bencana banjir,” katanya dalam satu kenyataan.

Misi Skuad Ihsan MADANI KLN bertujuan untuk membersihkan serta mengecat semula bangunan awam dan infrastruktur yang terjejas akibat banjir.

Katanya, inisiatif ini juga adalah hasil kerjasama erat kementerian bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Pendidikan Daerah Tumpat dan Majlis Daerah Pasir Mas.

“Diharap usaha ini bukan sahaja dapat membantu mangsa banjir kembali menjalani kehidupan seperti biasa, tetapi turut mencerminkan solidariti dalam kalangan masyarakat dan penjawat awam,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas