Berita

Kementerian Komunikasi minta penjelasan Meta

- Diterbit 1 Ogos 2024 3:59 PM MYT

KEMENTERIAN Komunikasi meminta penjelasan daripada pihak Meta Platforms Inc (Meta) yang menurunkan hantaran video dan ucapan takziah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di media sosialnya ke atas pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Menterinya, Fahmi Fadzil meminta Meta menjelaskan mengapa hanya hantaran kandungan yang dimuat naik di akaun rasmi Facebook dan Instagram Perdana Menteri itu menjadi sasaran.

“Pada waktu ini ada beberapa kemungkinan sama ada ia diturunkan pihak Meta sendiri secara automatik, ataupun disebabkan aduan diterima daripada orang ramai.

“Kerajaan semestinya mengesali tindakan Meta dan waktu ini kita belum dapat penjelasan yang penuh dan kita sedang menantikannya daripada pihak Meta,” katanya pada sidang medianya di Kementerian Komunikasi.

Beliau mengadakan sidang media itu sebagai pasca mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan semalam.

Fahmi yang merupakan jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata tindakan Meta itu amat dikesali dan menunggu penjelasan lanjut berhubung tindakan itu.

Terdahulu, Anwar mengecam tindakan Meta yang menurunkan hantaran video dan ucapan takziah beliau di media sosialnya terhadap pembunuhan Ismail Haniyeh.

Beliau menerusi hantaran di laman Facebooknya menyifatkan tindakan Meta itu sebagai biadap dan menghina perjuangan rakyat Palestin.

Semalam, pejabat Perdana Menteri turut mengecam tindakan pihak Meta yang sekali lagi menurunkan hantaran gambar perjumpaan Anwar dengan pemimpin Hamas di Doha, Qatar daripada aplikasi Instagram.

Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri menerusi hantaran di laman Facebook semalam berkata tindakan itu ternyata memperlihatkan diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas