Berita

Kementerian Ekonomi garis 11 sektor berpotensi untuk Bumiputera

- Diterbit 25 Oktober 2024 4:23 PM MYT

KEMENTERIAN Ekonomi telah menggariskan 11 sektor berpotensi yang boleh dimanfaatkan oleh Bumiputera terhadap peluang yang wujud melalui tumpuan dan penekanan yang diberikan oleh Kerajaan bagi pembangunan sektor dan industri tinggi termasuk industri High Growth, High Value (HGHV).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata sektor dan industri ini dikenal pasti berdasarkan potensi Bumiputera dalam menjana aktiviti bernilai ditambah tinggi; penggunaan teknologi termaju; penyelidikan dan pembangunan inovasi; pekerjaan berkemahiran tinggi yang menyumbang kepada peningkatan penyertaan serta penglibatan Bumiputera dalam industri HGHV.

“Antara sektor berpotensi ini termasuklah industri HGHV berasaskan peralihan tenaga, industri teknologi dan digital, pertanian dan industri asas tani, industri khidmat jagaan, industri modal teroka dan ekuiti persendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang minta penjelasan mengenaui impak Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 terhadap pemartabatan kedudukan sosioekonomi Bumiputera terutama di pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman dalam sektor dan industri baharu dengan nilai ditambah tinggi termasuk industri HGHV tanpa menafikan hak komuniti lain di parlimen.

Menurut Rafizi, kerajaan turut merangka beberapa ikhtiar dalam memperkasakan Bumiputera luar bandar dalam sektor dan industri baharu dengan nilai ditambah tinggi seperti yang terkandung di dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

“Antara ikhtiar yang dilaksanakankan adalah merekayasa ekonomi luar bandar melalui perluasan akses kepada pembiayaan alternatif dan penglibatan di dalam Industri HGHV terutamanya peralihan tenaga dan pertanian pintar serta penanaman herba bernilai tinggi.

“Selain itu, antara kaedah lain adalah memperkasakan hab logistik untuk meningkatkan infrastruktur dan agensi pemasaran dan pengedaran sedia ada di luar bandar;

“Memperluaskan Inisiatif Malaysia Digital ke luar bandar dan negeri kurang membangun bagi membolehkan Bumiputera mendapat manfaat daripada pelaburan baharu berkaitan teknologi dan pendigitalan;

“Mngkaji penetapan syarat kepada syarikat swasta supaya menyumbang dan memajukan komuniti Bumiputera dan kawasan luar bandar, termasuk kepada Orang Asli dan kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak dan merangka pelan pembangunan luar bandar yang lebih komprehensif,” katanya.

PuTERA 35 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 19 Ogos 2024 bertemakan Penyertaan, Pemilikandan Penguasaan Bumiputera yang lebih bermakna bagi mengangkat darjat dan martabat Bumiputera.

Rafizi berkata PuTERA35 memberi penekanan terhadap tiga teras utama, iaitu Memperkukuh Pasak Ekonomi Negara; Memperteguh Kerukunan Tatakelola dan Institusi dan Menegakkan Keadilan Sosial serta teras ini disokong oleh 12 pemacu dan 132 ikhtiar dalam menangani isu dan cabaran Bumiputera.

“PuTERA35 bukan sahaja satu pelan ekonomi eksklusif untuk masyarakat Bumiputera sahaja, sebaliknya pelan ini akan membantu memacu ekonomi majoriti rakyat terbanyak yang terpinggir terutama masyarakat di pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman.

“Kerajaan terus komited dalam memartabatkan kedudukan sosioekonomi.” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas