KEMENTERIAN Digital menyumbangkan peranti elektronik bernilai hampir RM300,000 kepada mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights, sebagai usaha meringankan beban mereka yang terkesan akibat insiden tersebut.
Unit Komunikasi Korporat iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), berkata bantuan disalurkan melalui agensi di bawah kementerian termasu MDEC, MyDIGITAL Corporation dan Digital Nasional Berhad (DNB), dengan sokongan Menteri Besar Selangor (Incorporation) atau MBI yang menguruskan pengagihan.
“Sumbangan meliputi 500 unit power bank, 150 unit beg sekolah bersama alat tulis, 100 unit tablet, 138 unit komputer riba, empat unit mesin pencetak dan pelbagai peranti lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kementeriannya mengambil langkah segera selepas dimaklumkan tentang kehilangan peranti penting dalam kalangan mangsa ketika lawatannya ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights sebelum ini.
“Telefon pintar, komputer riba dan peranti elektronik lain bukan lagi kehendak tetapi keperluan asas, terutama dalam urusan pendidikan, pekerjaan dan komunikasi. Justeru, kita usahakan bantuan ini bersama agensi dan rakan industri,” katanya.
Turut menyumbang dalam inisiatif ini ialah Payments Network Malaysia (PayNet), Kiddocare Sdn Bhd, Huawei Malaysia, Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM), Sri Computers Sdn Bhd, Dell Technologies, Jirnexu Malaysia Sdn Bhd, Lenovo Malaysia, Ant International, Acer Malaysia dan beberapa penderma persendirian.
Majlis penyerahan berlangsung di PPS Masjid Putra Heights dan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bersama Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil dan wakil syarikat penyumbang.
Sementara itu, Amirudin berkata, kerjasama pelbagai pihak ini membuktikan keprihatinan dan kecekapan semua agensi dalam membantu rakyat yang terkesan akibat bencana.
“Inilah bentuk kerjasama yang kita mahukan – pantas, tersusun dan memberi impak langsung kepada penerima. Kita akan terus bantu mangsa bangkit meneruskan kehidupan,” katanya.
Dalam pada itu, Anuar berkata MDEC komited memastikan akses digital tidak terputus meskipun dalam keadaan sukar.
“Bantuan ini bukan sahaja menggantikan peranti yang rosak atau hilang, tetapi juga memulihkan semangat mereka untuk terus maju,” katanya.
Bantuan berkenaan dijangka memberi manfaat segera kepada mangsa, terutama pelajar dan golongan bekerja yang amat memerlukan peranti digital dalam urusan harian.-WILAYAHKU