Berita

Kemenangan Trump: PM ucap tahniah, gesa hentikan keganasan di Palestin, Ukraine

- Diterbit 6 November 2024 7:15 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Donald Trump menggunakan pengaruh besar Amerika Syarikat (AS) di pentas dunia untuk membantu menghentikan keganasan di Palestin dan juga Ukraine.

Gesaan itu terkandung dalam ucapan tahniah oleh Anwar kepada Trump susulan kejayaan luar biasa pemimpin itu menerusi kebangkitan politik sekali gus memenangi Pilihan Raya Presiden AS.

“Kita (Malaysia) gesa AS untuk gunakan pengaruh besar mereka bantu tamatkan keganasan yang merosakkan dan kehilangan nyawa di Palestin dan Ukraine,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Selain itu Anwar berkata, episod baharu politik AS itu membawa kepada pelbagai peluang dan Malaysia bersedia untuk bergerak ke hadapan secara optimis, kerjasama dan tujuan bersama.

“Amerika Syarikat kekal sebagai sumber pelaburan asing terbesar Malaysia dan pemain penting di rantau Asia Pasifik.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia berharap Amerika Syarikat dapat mengaktifkan semula penglibatannya di rantau Asia tenggara,” katanya.

Jelasnya, Malaysia menantikan untuk bekerjasama rapat dengan bakal Presiden itu demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.

Terdahulu Trump dalam ucapan di hadapan penyokongnya di West Palm Beach, Florida mendakwa telah memenangi Pilihan Raya Presiden AS 2024 menewaskan pencabarnya, Kamala Harris. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas