Berita

Kemenangan di PRK Mahkota bukti rakyat yakin

- Diterbit 29 September 2024 12:29 PM MYT

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) yang menaruhkan calon daripada Kerajaan Perpaduan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menunjukkan rakyat semakin yakin dengan kerajaan semasa.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata ini semua adalah hasil usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menujukkan Kerajaan Perpaduan banyak ‘good factor’.

Beliau berkata feel good factor seperti ringgit semakin mengukuh, ‘share market’ naik dan harga kelapa sawit semakin tinggi menunjukkan ekonomi negara semakin baik.

“Kita nak ucap tahniah kepada perdana menteri dalam macam-macam pertikaian dan sebagainya tetapi berjaya bawa negara ke satu suasana agak tenang dari segi pertumbuhan ekonomi.

“Ini semua mungkin benda baru tetapi kalau sekiranya benda ini berterusan, rakyat akan merasa kerajaan ini ‘on the track’,” katanya.

Pada PRK DUN Mahkota semalam, BN menang bergaya apabila memperoleh majoriti 20,648 undi, empat kali ganda lebih besar berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022 iaitu 5,166 undi.

Calon BN Syed Hussien Syed Abdullah mendapat 27,995 undi manakala pencabarnya, Haizan Jaafar daripada Perikatan Nasional hanya memperoleh 7,347 undi.

Sementara itu, Sharkar berkata keputusan semalam juga menunjukkan pengundi tentera dan polis kali ini memihak kembali kepada BN.

Beliau berkata ini menunjukkan keyakinan penjawat awam terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Ini menunjukkan keyakinan mereka kepada kerajaan yang menunaikan janji selepas menaikan gaji penjawat awam baru-baru ini.

“Pengundi di Mahkota memang meraskan Syed Hussien calon terbaik. Mereka nak kerajaan stabil.

“Syed Hussein juga menjadi jambatan antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri,” katanya.

Menurut Sharkar BN juga tidak boleh terlalu gembira dengan kemenangan di PRK Mahkota.

Beliau berkata ini berdasarkan peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota iaitu 53.84 peratus.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

Sharkar turut menyatakan penghargaan di atas usaha Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memimpin BN bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas