KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri semalam membuktikan rakyat Kelantan menerima kesepakatan yang terhasil menerusi gabungan Kerajaan Perpaduan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kemenangan itu juga adalah penzahiran kepercayaan rakyat yang semakin menyesuaikan diri dengan gelombang perubahan di bawah Kerajaan Madani.
“Ini selaras dengan petanda lonjakan ekonomi negara yang kian mekar sejak akhir-akhir ini.
“Alhamdulillah, tahniah Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Barisan Nasional atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Nenggiri semalam,” katanya di Facebooknya.
Sementara itu, Anwar berkata kemenangan itu juga menjadi suntikan moral untuk Kerajaan Madani tekal dalam usaha memelihara kebajikan rakyat dan menjulang kemakmuran negara ke tingkat tertinggi.
Semalam, BN merampas kembali kerusi DUN Nenggiri dengan majoriti 3,352 undi.
Calon BN Mohd Azmawi memperoleh 9,091 undi, menewaskan PAS diwakili Mohd Rizwadi Ismail yang mendapat 5,739 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan jumlah keluar mengundi sebanyak 73.88% daripada 20,259 pengundi berdaftar pada PRK ini dan 43 daripadanya melibatkan pengundi pos.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
PRK DUN Nenggiri membabitkan seramai 20,259 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan calon PN.
PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lalu. – WILAYAHKU