Berita

Kemboja, Brunei perkukuh hubungan kerjasama; kenyataan bersama

- Diterbit 14 November 2022 11:08 AM MYT

KEMBOJA dan Brunei pada Isnin berikrar untuk memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama mereka demi manfaat bersama, menurut kenyataan bersama.

Kenyataan itu dikeluarkan pada akhir lawatan negara sehari Sultan Brunei Haji Hassanal Bolkiah ke Kemboja, ketika kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik tahun ini, lapor Xinhua.

Semasa lawatan itu, Sultan Brunei bertemu Raja Kemboja Norodom Sihamoni, dan Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen, kata kenyataan itu.

Sultan Brunei dan Hun Sen mengadakan perbincangan yang membuahkan hasil mengenai pelbagai kerjasama dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama, katanya.

“Kedua-dua pihak juga menyatakan komitmen padu mereka untuk mengukuhkan hubungan persahabatan dan meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang seperti pertahanan dan keselamatan, perdagangan dan pelaburan, tenaga, pendidikan dan pembangunan sumber manusia, kebudayaan, pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi, serta kesihatan awam,” menurut kenyataan itu.

“Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk menyatukan lagi kerjasama pertahanan dan keselamatan melalui pertukaran maklumat mengenai keganasan dan jenayah transnasional dan pertukaran pegawai kanan pertahanan, projek pembangunan kapasiti dan kemungkinan menandatangani memorandum persefahaman mengenai kerjasama pertahanan,” katanya.

Kedua-dua pemimpin berazam untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala kedua-dua negara dengan menggalakkan sektor swasta meneroka lebih banyak peluang perniagaan dalam pelbagai bidang yang berpotensi dan memastikan pelaksanaan perjanjian yang berkesan untuk mengelakkan cukai berganda.

Pihak Kemboja menggalakkan pelaburan langsung dari Brunei untuk sama-sama membangunkan industri pemprosesan tani dan berasaskan pengetahuan, kata kenyataan itu, sambil menambah kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengembangkan kerjasama dalam bidang baharu seperti ekonomi hijau dan digital.

Kedua-dua pemimpin juga menekankan pentingnya pemusatan dan perpaduan ASEAN untuk menangani cabaran bersama dan memajukan usaha pembangunann komuniti ASEAN, katanya.

Pada akhir pertemuan itu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara kedua-dua kerajaan mengenai perundingan dua hala. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas