Berita

Kematian kucing di UM disebabkan serangan anjing liar

- Diterbit 23 Disember 2024 11:22 AM MYT

KEMATIAN beberapa ekor kucing di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini dipercayai akibat serangan anjing liar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan yang terlibat.

“Pihak polis mengesahkan telah menerima tiga laporan polis berhubung kejadian kematina kucing di universiti itu pada 17, 20 dan 21 Disember lalu.

“Walau bagaimanapun tiada saksi yang menyaksikan kejadian tersebut berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Rusdi berkata, pihaknya telah merujuk perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Kita telah menerima pengesahan kecederaan yang dialami ke atas kematian kucing-kucing itu adalah disebabkan serangan anjing liar,” katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu bagi mengelakkan berlaku kegelisahan terhadap masyarakat.

“Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat disarankan untuk menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

“Selain itu orang ramai juga turut boleh menyalurkan sebarang aduan sekiranya terdapat kes penganiayaan terhadap mana-mana haiwan kepada pihak veterinar di pautan awa.dvs.gov.my. agar tindakan tegas dapat diambil ke atas mana-mana individu yang membuat zalim ke atas haiwan,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai seekor kucing ditemukan mati dengan keempat-empat kaki hilang di UM.

Rabu lalu media melaporkan dua ekor kucing yang ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM bukan akibat perbuatan kejam manusia, sebaliknya diserang anjing liar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas