KEMENTERIAN Pertahanan secara asasnya tidak menjadikan negara-negara ASEAN lain sebagai kriteria utama dalam memoden atau mengemaskini keupayaan dan kesiagaan pertahanan negara.
Menurut kementerian itu, hal demikian kerana cabaran dan keperluan setiap negara adalah unik dan berbeza-beza.
Atas dasar itu katanya, kedudukan dan keupayaan aset adalah berpandukan kepada bentuk dan tahap ancaman kedaulatan semasa dan keperluan serta saranan oleh pengguna akhir iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memperkasa benteng pertahanan negara.
“Dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP), pihak ATM telah menetapkan perancangan jangka panjang bagi pembangunan keupayaan pertahanan merangkumi pemodenan aset persenjataan.
“Ini memandangkan setiap perolehan mengambil tempoh masa yang lama kerana aset dan kelengkapan itu perlu dihasilkan mengikut keperluan operasi dan speaifikasi teknikal yang ditetapkan setiap perkhidmatan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan mengenai ‘ranking’ aset dan keupayaan ATM berbanding negara-negara ASEAN lain.
Tambahnya, pihak ATM melaksanakan pelan penambahbaikan dan modenisasi pertahanan secara menyeluruh berpandukan kepada Pelan Pembangunan Keupayaan Dimensi Keempat ATM atau dikenali sebaia Fourth Dimension of Malaysian Armed Forces (4D MAF) yang bertujuan menentukan keberadaan ATM sentiasa digeruni dan dihormati.
Jelasnya, ia termasuk perancangan perolehan aset dan peralatan ketenteraan yang bersesuaian bagi mengekang ancaman di Laut China Selatan melibatkan beberapa langkah strategik.
Dalam aspek kesiagaan maritim katanya, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mempunyai keupayaan kapal selam kelas Scorpene, frigat kelas Lekiu dan korvet.
“Pihak TLDM telah membangunkan pelan pembangunan keupayaan domain laut bagi memperkasa keupayaan pertahanan dan kapasi ATM dalam menegah sebarang bentu ancaman.
“Dalam aspek kesiagaan udara pula, pada masa ini, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempunyai beberapa pesawat tempur yang berkeupayaan tinggi yang mampu melaksanakan penerbangan pintasan terhadap pesawat asing yang menceroboh ke ruang udara atau perairan Malaysia.
“TUDM kini sedang dalam fasa perolehan pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan Medium Altitude Long Endurance – Unmanned Aerial System (MALE-UAS) yang dijangka diterima pada 2025-2026,” katanya.
Kementerian Pertahanan memberitahu, pada masa yang sama, TUDM dijangka memperoleh 18 unit pesawat Fighter Lead In Trainer – Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) yang baharu pada penghujung 2026. – WILAYAHKU