Berita

Kemalangan bas di Norway: Pasukan konsular dihantar beri bantuan kepada warga Malaysia

- Diterbit 27 Disember 2024 4:50 PM MYT

SATU pasukan konsular telah dihantar bagi memberikan bantuan dan sokongan kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam kemalangan bas berhampiran Tasik Asvatnet, Norway semalam.

Menurut Wisma Putra, kejadian berlaku pada pukul 1.30 petang waktu tempatan.

Katanya, laporan awal menunjukkan penumpang di dalam bas itu termasuk pelancong asing dari China, Singapura, India, Belanda, Malaysia, Sudan Selatan, Perancis dan Ukraine.

“Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Malaysia di Stockholm sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Norway untuk mengumpul lebih banyak maklumat mengenai insiden tersebut.

“Satu pasukan konsular telah dihantar untuk memberikan bantuan dan sokongan segera kepada warganegara Malaysia yang terjejas oleh kejadian tersebut.

“Maklumat lanjut akan diberikan sebaik sahaja maklumat baru diterima,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan pada Jumaat.

Wisma Putra memberitahu, kemalangan itu berlaku dalam keadaan cuaca buruk, termasuk salji lebat dan angin kuat, yang menyebabkan bas hilang kawalan dan terbalik.

“Daripada 58 penumpang, tiga kematian dilaporkan dan empat individu mengalami kecederaan serius dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Stokmarknes.

“Maklumat lanjut mengenai insiden ini dijangka dikeluarkan pihak berkuasa pada hari ini, waktu tempatan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas