KEM wushu Wilayah Persekutuan tampil cemerlang dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 sekali gus melakar pencapaian terbaik dalam sejarah sukan tersebut.
Pengurus Pasukannya, Yap Zheng Hui, berkata edisi ini merupakan pertama kali skuad wushu Wilayah Persekutuan mempertaruhkan dua finalis bagi acara sanda dan kedua-duanya berjaya meraih pingat emas.
“Bagi acara taoulu juga kita merekodkan pencapaian terbaik dengan keseluruhan dua pingat emas, empat perak dan empat gangsa.
“Ini jelas membuktikan bahawa atlet kita telah memberikan 120 peratus dalam setiap acara yang disertai tambahan pula dengan sokongan daripada bekas atlet dan ibu bapa yang sanggup hadir,” katanya ketika ditemui Wilayahku.
Tambahnya lagi kebanyakan atlet baru pertama kali beraksi di temasya SUKMA dan masih berpeluang untuk memperbaiki corak permainan bagi penganjuran akan datang.
“Lebih daripada enam orang atlet merupakan muka baru dan mungkin kita boleh tambah baik pingat yang diperoleh sekarang perak dan gangsa kepada emas untuk SUKMA seterusnya berbekalkan dengan persiapan yang sepatutnya.
“Ada juga atlet baru yang telah berjaya meraih pingat emas pertama buat diri mereka dan ia adalah perkara yang bagus kerana dapat memberi lebih keyakinan untuk pertandingan seterusnya,” ujarnya kem wushu menutup tirainya pada Jumaat lalu.
Mengulas lanjut, Zheng Hui berkata antara penambahbaikan yang perlu dititikberatkan kem wushu selepas ini adalah latihan mental.
“Atlet kita kena lagi kuat kerana untuk temasya kali ini saingan sangat sengit bukan sahaja Wilayah Persekutuan tapi kita ada Perak, Kelantan dan Sabah yang menunjukkan peningkatan ketara.
“Jadi Wilayah Persekutuan perlu berusaha dengan lebih gigih agar pencapaian terbaik kali ini dapat diteruskan dalam SUKMA seterusnya,” ujarnya.
Jelasnya lagi terdapat beberapa atlet prospek yang terlepas pingat kerana sedar mereka memikul harapan yang tinggi seterusnya membuatkan diri stres sebelum perlawanan.
“Kerana itu saya dan jurulatih akan sentiasa cuba untuk menenangkan para atlet setiap kali sebelum bertanding. Pesanan kami hanya mahu mereka buat yang terbaik sambil membuat rutin seperti biasa dan just enjoy the competition,” katanya.
Untuk rekod, skuad wushu Wilayah Persekutuan merekodkan pencapaian terbaik dalam sejarah selepas berjaya menduduki tempat kedua secara keseluruhan dengan pungutan empat emas, empat perak dan tujuh gangsa diikuti Pulau Pinang di tempat ketiga (empat emas, empat perak dan lima gangsa) manakala Melaka mendominasi acara wushu dengan pungutan tujuh pingat emas, empat perak dan lima gangsa.
Dalam perkembangan lain, seluruh rakyat Malaysia boleh menyaksikan aksi SUKMA Sarawak 2024 melalui RTM di platform Saluran OKEY, Sukan RTM, RTMklik dan Dua (2) Saluran Khas di platform digital.
Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, RTM akan membawakan kesemua 37 acara sukan yang dipertandingkan secara langsung bermula 12 Ogos 2024 hingga 24 Ogos 2024 yang meliputi sembilan lokasi utama iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
“Selain itu, laporan harian iaitu sesi pagi bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari, diikuti sesi petang pukul 2 hingga 5 dan sesi sebelah malam mulai pukul 10 hingga 11,” ujar beliau dalam satu kenyataan semalam. – WILAYAHKU