Berita

Kem Pembinaan Karakter Generasi MADANI bentuk perilaku positif pelajar

ABDUL BASIR (dua kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil peserta.
- Diterbit 11 Oktober 2024 11:43 AM MYT

KIRA-KIRA 80 pelajar tingkatan empat dari sembilan buah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) menghadiri Program Kem Pembinaan Karakter Generasi MADANI yang diadakan di Photon Valley Eco Resort, Hulu Langat, Selangor selama tiga hari dua malam pada 4 hingga 6 Oktober 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed berkata ia bertujuan untuk membentuk karakter positif dalam kalangan pelajar melalui pembelajaran interaktif, diskusi dan kegiatan luar ruangan.

“YWP sentiasa mengambil berat nasib golongan kurang berkemampuan dalam memenuhi hasrat pembangunan modal insan khususnya warga pelajar Wilayah Persekutuan (WP) yang merupakan cerminan kepada imej rakyat Malaysia di mata dunia.

“Di era globalisasi, penting bagi generasi muda untuk memiliki nilai-nilai moral dari segi akhlak yang baik, adab yang mulia serta disiplin dalam kehidupan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Abdul Basir berkata antara impak yang diperoleh menerusi program adalah dapat mendorong pelajar untuk memahami pentingnya nilai-nilai karakter murni dalam kehidupan.

“Selain itu, meningkatkan keterampilan komunikasi, kerjasama, disiplin serta mengajak pelajar untuk berinteraksi dengan berkesan melalui nilai-nilai murni dalam masyarakat.

“Kita berusaha untuk membawa kegembiraan kepada anak-anak ini, supaya mereka terus berusaha mencapai kecemerlangan. Harapan kita agar tiada lagi pelajar yang mengalami tekanan sehingga mendorong mereka bertindak di luar jangkaan.

“Diharapkan juga dapat melahirkan pelajar yang tidak hanya cemerlang akademik, tetapi juga memiliki karakter yang kukuh dan mampu memberikan sumbangan positif kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata perbelanjaan keseluruhan meliputi kos logistik, sewa lokasi, pembayaran fasilitator serta penyediaan bahan maklumat dan promosi bagi menguruskan program tersebut adalah sebanyak RM33,000 daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam pada itu, sembilan lagi program motivasi yang sama sedang dirancang oleh YWP bagi memenuhi keperluan mendidik anak-anak di 54 PPR/PA yang lain di Kuala Lumpur.

Hadir sama Penolong Pegawai Tadbir, Jabatan Pembangunan Komuniti & Kesejahteraan Bandar DBKL, Mohd Naim dan Pengarah Pusat Bimbingan Wirajaya, Abdul Malek Abdul Halim. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas