Berita

Keluasan Tanah Rizab Melayu meningkat

- Diterbit 17 Februari 2025 5:02 PM MYT

JUMLAH keseluruhan Tanah Rizab Melayu (TRM) di Semenanjung adalah seluas 4,955,870.89 hektar, bagi tempoh sehingga 30 Jun 2024.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, data itu tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai Enakmen Rizab Melayu.

“Dalam hubungan ini, keluasan Tanah Rizab Melayu di Semenanjung telah menunjukkan peningkatan sebanyak 2,533,150.89 hektar atau 104.55 peratus pada 2024 berbanding data terawal keluasan TRM yang direkodkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) pada 1947 iaitu seluas 2,422,720 hektar,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai tindakan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan Tanah Rizab Melayu tidak berkurangan dan adakah mekanisme untuk mengatasi isu-isu berbangkit berkaitan Tanah Rizab Melayu.

Tiong Sii berkata, perkara-perkara berhubung TRM adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri.

Meskipun begitu katanya, isu-isu berkaitan TRM juga sentiasa dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) yang telah diwujudkan di peringkat Persekutuan yang berperanan merundingkan perkara-perkara berhubung tanah antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Selaras dengan keputusan MTN yang Ke-69, kementerian ini berperanan sebagai penyelaras untuk pengumpulan data Tanah Rizab Melayu.

“Sehubungan itu, beberapa siri sesi libat urus bersama-sama dengan Pentadbiran Tanah Negeri dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) diadakan bagi mendapatkan data Tanah Rizab Melayu yang tepat,” katanya.

Beliau menambah, data itu kemudiannya digunakan oleh kementerian dalam mewujudkan satu sistem pangkalan data spatial TRM berpusat untuk rujukan bagi tujuan pembangunan akan datang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas