Berita

Keluarga doakan urusan penyanyi Bea Soba Bea dan suami berhubung isu dadah dipermudahkan

- Diterbit 21 Januari 2025 11:04 AM MYT

ADIK ipar kepada penyanyi yang popular menerusi lagu Bea Soba Bea, Eda Ezrin iaitu pelakon dan bekas penyampai radio, Jaa Suzuran mengakui mereka sekeluarga masih lagi terkejut dengan berita penangkapan penyanyi itu bersama suaminya terkait dadah di Sungai Golok, wilayah Narathiwat, selatan Thailand, 1 November lalu.

Jaa yang ditemui selepas majlis tayangan filem Soloz : Game Of Life malam tadi, berkata sukar untuk dia menjelaskan apa yang berlaku, lebih-lebih dia tidak berada ditempat kejadian sewaktu serbuan dilakukan.

“Kalau boleh saya memang nak bercerita tapi saya tidak ada di tempat kejadian pada ketika itu. Siapa yang tak nak pertahankan keluarga?

“Siapa pun yang berada di tempat keluarga kami pastinya akan terkejut dengan apa yang berlaku.

“Kami sekeluarga hanya mampu mendoakan segala urusan dipermudahkan,” katanya.

Ditanya bagaimana dengan keadaan anak-anak abangnya, Mohd Affendi Ahmad, 35, Jaa bagaimana kurang pasti kerana mereka tidak berada di bawah jagaan ibunya.

Bagaimanapun, Jaa memohon agar orang ramai berhenti daripada membuat sebarang spekulasi atau andaian tidak benar demi menjaga perasaan ibunya.

“Saya harap berhati-hatilah ketika bercakap. Ini kerana, kita tak tahu cerita sebenar yang terjadi pada waktu kejadian.

“Saya tidak nafikan sebelum ini sering membuat spekulasi dan memberikan komen apabila sesuatu kes viral walaupun hakikatnya tiada di tempat kejadian,” katanya.

Pada 14 Januari lalu, penyanyi dikir barat Malaysia itu bersama lima yang lain didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 pil yaba dan mengambil dadah di Pekan Sungai Golok pada 1 November lalu.

Bagaimanapun penyanyi, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30; suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta empat yang lain, Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pil yaba.

Namun mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah (memasukan dadah dalam badan) selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat, Yuan Khao Kham

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa memiliki pil yaba di sebuah hotel di bandar Sungai Golok jam 5 pagi (waktu Thailand). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas