Berita

Kelantangan Anwar terhadap Palestin ciri penting hubungan antarabangsa Malaysia

Foto: SHUAIB WILAYAHKU
- Diterbit 25 Oktober 2023 3:48 AM MYT

KELANTANGAN Malaysia menggesa negara lain agar menyokong Palestin dan menamatkan kekejaman Israel ialah ciri utama hubungan antarabangsa negara di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beberapa penganalisis memuji keberanian Anwar bersuara dan membawa pandangan itu ke pentas dunia dalam menyatakan solidariti dengan rakyat Palestin.

Anwar berani menyuarakan pendapat dan konsisten dalam menyokong perjuangan Palestin. Pada 22 Sept, menerusi kenyataan negara sulungnya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Perdana Menteri telah mengetengahkan hipokrasi ketara Barat dalam menangani isu Palestin.

Beliau menyeru usaha pelbagai hala bersepadu yang diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelesaikan semua konflik dan krisis kemanusiaan di dunia.

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh baru-baru ini, Anwar menggunakan peluang yang ada untuk membangkitkan isu Palestin kepada seberapa ramai pemimpin dan negara lain, menggesa masyarakat antarabangsa untuk menamatkan pencerobohan berterusan terhadap Palestin.

Konflik Palestin-Israel menjadi tumpuan dan merupakan topik utama perbincangan antara Anwar dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga Perdana Menteri Arab Saudi semasa pertemuan empat mata selepas sidang kemuncak itu.

Anwar turut membincangkan konflik di Semenanjung Gaza yang berterusan dengan Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia Dr Muhammad Abdulkarim Al-Issa di Riyadh, Persiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Istanbul dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Kaherah semasa lawatan kerja beliau ke negara berkenaan baru-baru ini.

Penasihat Utama Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia Dr Oh Ei Sun berkata Anwar berhasrat untuk diiktiraf sebagai penyokong dunia Islam di barisan hadapan dalam memperjuangkan isu Palestin.

“Oleh itu, tidak hairanlah Anwar secara proaktif membawa pendirian pro-Palestin di peringkat domestik dan antarabangsa. Di negara ini, nasib Palestin mungkin antara beberapa isu yang boleh menyatukan parti didominasi Melayu, justeru Anwar perlu cekap meletakkan dirinya di barisan hadapan dalam masalah ini,” katanya kepada Bernama.

Ketika ditanya sama ada Malaysia akan menjangkakan kesan dari negara Barat kerana memperjuangkan nasib Palestin, Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu berkata kebanyakan negara Barat memahami keperluan domestik untuk kerajaan didominasi orang Islam atau pemimpinnya untuk menonjolkan pendirian yang lebih pro-Palestin. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas