Wawancara

Kelangsungan hidup rakyat fokus utama KPDN

- Diterbit 5 Januari 2024 10:40 AM MYT

PELBAGAI rintangan serta cabaran telah dilalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam membantu kelangsungan hidup rakyat.

Faktor utama seperti mengembangkan ekonomi serta mengatasi masalah inflasi antara fokus utama dapat dilihat dalam mengurangkan beban hidup rakyat.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan perancangan tahun 2024 serta inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan KPDN, ikuti wawancara eksklusif Wartawan Kanan Wilayahku, SYED HAZIQUE, jurufoto SYUQQREE DAIN dan juruvideo HASIF HALIMI bersama Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh.

Apakah pencapaian KPDN sepanjang tahun 2023?

Tahun 2023 ialah tahun yang amat mencabar kepada saya secara peribadi dan di pihak kementerian sendiri terutamanya selepas kehilangan mantan Menteri, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Ia satu kehilangan besar apabila Allahyarham sendiri yang mengenalkan inisiatif jenama Payung Rahmah dalam membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup.

Sudah semestinya kayu ukuran pertama ialah kadar inflasi, bila kita ambil alih kerajaan kadar inflasi pada 4 peratus, dengan penyumbang terbesar ialah kategori makanan manakala sub kategori makanan di luar rumah paling tinggi sebanyak 9.6 peratus, inilah yang menarik kadar inflasi meningkat.

Apabila KPDN memperkenalkan Menu Rahmah pada Januari 2023, kita dimaklumkan oleh pakar-pakar penganalisis ekonomi, kesan daripada Menu Rahmah akan dapat dilihat pada bulan April, dan alhamdulillah pada mulanya dengan inflasi 9.6 peratus kat­egori luar rumah, kita dapati sehingga Oktober turun kepada 5.6 peratus. Ketika ini kita ada sekitar 2,894 cawangan yang menawarkan Menu Rahmah.

Kemudian kita pergi kepada kategori makanan dalam rumah di mana tercetusnya idea untuk memperkenalkan inisiatif Jualan Rahmah. Walaupun kita mempunyai Jualan 1Malaysia, Jualan Rahmah berkonsepkan kedai cari pelanggan. Kedai dalam bentuk lori yang mengunjungi ke mana-mana lokasi golongan B40.

Alhamdulillah saya rasa ia satu pencapaian membanggakan dan ia berjaya menurunkan kadar inflasi sekali gus menyantuni lebih 5 juta rakyat dengan Jualan Rahmah.

Insentif Payung Rahmah dilihat satu inisiatif yang berjaya memberi impak positif kepada rakyat, apakah ia akan diteruskan sampai bila-bila?

Di peringkat kementerian kita dah daftarkan ia sebagai satu cap dagang untuk pihak kementerian jadi ia tidak lagi boleh digunakan pihak lain.

Dalam pada masa sama, kerajaan komited dengan inisiatif Rahmah ini yang dapat membantu rakyat kurang berkemampuan. Justeru itu, inisiatif tersebut akan diteruskan malah dikembangkan lagi pada masa hadapan.

Apakah manfaat yang diperoleh restoran-restoran yang memberi inisiatif Payung Rahmah memandangkan kos barangan juga dilihat meningkat?

Pada peringkat awal, pihak kementerian melaksanakan inisiatif tersebut tanpa peruntukan daripada kerajaan. Kesemua premis yang terlibat dengan Payung Rahmah melakukannya secara sukarela dengan mengamalkan konsep berkongsi rezeki. Namun pada 2 November KPDN memperkenalkan kad insentif Rahmah. Ia merupakan kad diskaun di mana terdapat enam rakan strategik yang dilantik akan menawarkan diskaun sehingga 40 peratus kepada pengusaha Menu Rahmah yang berdaftar bersama KPDN. Antara rakan strategik seperti Giant, Mydin, NSK, Aeon Big, Lotus dan Econsave.

Berapakah jumlah nilai subsidi Payung Rahmah yang ditanggung KPDN?

Jumlah yang diberikan kerajaan ialah sebanyak RM100 juta ringgit, kemudian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat Jualan Rahmah berjaya dan ditambah lagi sebanyak RM50 juta menjadikan jumlah keseluruhan pada 2023 sebanyak RM150 juta.

Kemudian pada tahun 2024 pula, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta hanya untuk Jualan Rahmah tetapi masih tiada bajet untuk Bakul dan Menu Rahmah, cuma ada sedikit tambahan untuk kita mulakan Pasar Rahmah.

Kos sara hidup dilihat semakin meningkat, apakah langkah yang diatur oleh pihak KPDN dalam membantu mengurangkan beban rakyat?

Dalam pasaran ekonomi terbuka tidak boleh hendak kawal semua harga barang, kita ada juga mengawal seperti pada musim perayaan, jadi ada skim harga maksimum musim perayaan, tetapi di masa sama kita juga ada barang-barang kawalan harga contohnya minyak masak, gula dan sebagainya.

KPDN juga mempunyai mekanisme bagi membantu mengawal harga. Setakat ini kita kawal harga minyak petrol dan diesel di mana nanti mungkin akan diapungkan dan akan diberi subsidi bersasar, jadi itu salah satu cara kita mengawal harga barangan.

Kemudian KPDN ada menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) untuk barang-barang yang tidak diletakkan harga maksimum.

Apakah langkah penguatkuasaan pihak KPDN bagi mengelakkan ketirisan barangan subsidi atau pihak tidak bertanggungjawab menyorokkan barangan subsidi?

Kita selalu melakukan pemantauan dan penguatkuasaan malah KPDN mempunyai akta yang harus dipatuhi semua pihak bagi mengelakkan serta membanteras aktiviti-aktiviti penyeludupan, sorok, salah guna serta ketirisan barangan ini.

Malah, penguatkuasaan menerusi operasi turut dilaksanakan dengan aktiviti turun padang serta memeriksa premis jual barangan yang mencukupi.

KPDN turut mengeluarkan arahan kepada pengeluar atau pengawal bekalan di mana kita akan memastikan barang-barang ini ada menerima pengeluaran dengan arahan yang telah ditetapkan. Pihak kementerian akan memerhati dan memeriksa setiap hari agar mencapai kuantiti pengeluaran yang telah ditetapkan bagi memastikan barangan mencukupi.

Apakah langkah-langkah atau inisiatif-inisiatif serta perancangan pihak KPDN dalam membantu rakyat memerlukan pada tahun 2024?

Pihak kementerian amat bertanggungjawab kepada perniagaan, pembangunan perniagaan dalam negeri serta tanggungjawab kepada pengguna, dan tentu sekali tunggak tanggungjawab ialah kos sara hidup. Dalam melunaskan kesemua tanggungjawab itu, pihak KPDN mempunyai badan penguat kuasa yang telah dilantik yang sentiasa memantau di seluruh negara dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Bagi tahun 2024, KPDN akan pergi ke tahap lebih tinggi dalam apa yang telah dilaksanakan, saya punya impian untuk mengeluarkan produk Rahmah seperti beras, minyak masak, sos cili, kicap dan pelbagai barang keperluan lain dengan memfokuskan jualan kepada golongan memerlukan. Saya juga akan mencuba untuk membawa produk atau jenama tempatan ke peringkat antarabangsa kerana itulah hasrat kami di peringkat kementerian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas