Berita

Kelab Pemuisi Labuan anjur Malam Santai Puisi sempena SHWP 2022

GABRIEL (tengah) bersama para peserta di Program Malam Santai Puisi di Terminal Corner di sini, semalam.
- Diterbit 1 Februari 2022 5:54 AM MYT

BIRO Kelab Pemuisi Zon Labuan menganjurkan program Malam Santai Puisi bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022 (SHWP) peringkat Labuan, semalam.

Antara sajak yang dipersembahkan pada program itu ialah Kita Tidak Berkhayal, Rumah Keluarga Malaysia, Masihkah Kau Bermain Seruling, Tetamu Senja.

Pengerusinya, Gabriel Kimjuan berkata, program itu diadakan bertujuan menyemarakkan lagi SHWP tahun ini dengan program pengisian yang bermanfaat kepada warga Labuan.

Katanya, disamping meraikan SHWP, program itu turut dapat memartabatkan karya sastera di kalangan warga pulau ini.

“Tujuan penganjuran program ini adalah untuk menarik minat masyarakat dalam karya sastera.

“Kita mahu karya sastera ini sentiasa dimartabatkan kepada masyarakat khususnya kepada golongan muda agar karya sastera ini tidak dilupakan,” katanya kepada Wilayahku di Terminal Corner di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya dalam perancangan untuk mengadakan beberapa program seperti itu sepanjang tahun ini.

“Memandangkan program sulung ini mendapat sambutan, kita akan merancang beberapa lagi program pengisian seperti ini pada masa akan datang dan kita harap masyarakat Labuan khususnya golongan muda dapat menyertainya.

Kepada mereka yang ingin menyertai Kelab Pemuisi Zon Labuan, boleh menghubungi Pengerusi Biro Kelab Pemuisi Labuan di talian 017-835 4504 atau melalui Facebook Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia untuk maklumat lanjut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas