KELAB Penyokong Kerajaan Madani (BBC) sepenuhnya menjunjung dan menyokong titah Yang di-Pertuan Agong, , Sultan Ibrahim agar Ahli Parlimen mengelak daripada mempolitikkan setiap isu demi kepentingan parti.
BBC dalam satu kenyataan menyatakan, sebagai wakil rakyat tanggungjawab utama mereka adalah memastikan perbahasan di Parlimen kekal konstruktif, berasaskan data, serta tertumpu kepada kemajuan negara, bukan naratif politik yang memecahbelahkan.
“BBC memainkan peranan penting dalam memastikan semak dan imbang dalam kerajaan, bagi menjamin dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Ini termasuk menyuarakan kebimbangan, memberikan maklum balas, dan mengkritik dasar kerajaan secara membina apabila perlu.
“Namun seperti Titah Seri Paduka, tanggungjawab itu harus dilaksanakan dengan penuh tertib, berpandukan fakta serta kepentingan negara, bukan retorik politik semata-mata,” ujar BBC.
Dalam usaha membina budaya Parlimen yang lebih matang dan bertanggungjawab, BBC terus proaktif dalam memperkukuh kualiti perbincangan serta keterlibatan Ahli Parlimen.
Inisiatif seperti Sarapan Bersama Menteri, Friends of Ministry, dan taklimat Parlimen yang lebih tersusun membolehkan Ahli Parlimen memahami dasar dengan lebih mendalam, memastikan perbahasan yang lebih bermakna serta berorientasikan penyelesaian.
Platform itu juga membantu Ahli Parlimen menyampaikan maklumat dasar kepada rakyat secara lebih jelas dan berkesan, sekali gus mengelakkan kekeliruan dan mengurangkan unsur sensasi politik yang tidak wajar.
“Seiring dengan visi Seri Paduka, kami menyeru semua Ahli Parlimen, tanpa mengira latar politik, untuk bersama-sama menjunjung integriti Parlimen, mengangkat
perbahasan yang berasaskan fakta, serta mengutamakan kepentingan negara melebihi segala-galanya.
“Marilah bekerjasama untuk memperkukuh institusi demokrasi dan membina Malaysia yang lebih progresif, inklusif, dan bersatu padu,” ujar BBC dalam kenyataan medianya lagi. – WILAYAHKU