Berita

Kekurangan fizikal bukan penghalang, Eddy pecah rekod Asia di Paris

EDDY BERNARD (kanan) tuai pingat pertama Malaysia di kota Paris.
- Diterbit 6 September 2024 4:40 PM MYT

OLAHRAGAWAN para negara, Eddy Bernard tidak melihat kekurangan fizikal menghalang dirinya daripada berjaya dalam hidup apatah lagi mengharumkan nama negara dengan menjelmakan kilauan pingat sulung Malaysia pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Eddy menghadiahkan pingat gangsa 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) buat negara dengan catatan 11.58 saat (s) pada hari keempat Sukan Paralimpik 2024 di Stade de France.

Walaupun dilahirkan dengan keadaan tangan di mana sebahagian jari bersambung dan kaki kecil di bahagian kanan, atlet dari Beluran, Sabah itu sentiasa berfikiran positif malah sering meletakkan dirinya mampu untuk melakukan apa yang manusia dilahirkan dalam keadaan cukup sifatnya lakukan.

“Bila lihat orang lebih sempurna fizikalnya boleh buat, saya pun boleh. Saya selalu cuba positifkan diri saya.

“Kadang-kadang pernah rasa rendah diri namun saya cuba alih fikir benda lain dan lawan diri untuk sentiasa positif dan tidak berfikiran negatif,” ujarnya.

Bukan sahaja memenangi gangsa, malah catatan masa 11.58s dilakukannya turut memecahkan rekod Asia terdahulu milik wakil Sri Lanka, Indika Gamage iaitu 11.75s pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lalu.

Dalam pada itu, pingat emas disambar wakil Afrika Selatan, Mpumelelo Mhlongo dengan catatan 11.12s manakala pingat perak menjadi milik atlet Cuba, Yamel Luis Vives Suares dengan masa 11.20s.

Atlet berusia 23 tahun itu juga sememangnya dapat merasakan mampu menyumbang pingat pertama negara pada hari keempat temasya sukan berprestij dunia itu.

Dalam masa sama, Eddy berkata kata-kata azimat jurulatihnya, Hamberi Mahat sebelum pertandingan juga banyak membakar semangatnya melakar kejayaan tertinggi dalam karier sejak mula mewakili negara pada 2017.

“Coach kata bantai dan langgar sahaja, jangan banyak fikir, fikir diri sendiri sahaja,” ujar anak bongsu daripada enam orang adik-beradik itu.

Pemenang perak Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 itu juga pada masa sama mahu mendedikasikan pingat gangsa dimenanginya kepada keluarga, Hamberi dan rakan-rakan atas dorongan diberikan mereka kepadanya selama ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas