Fokus

Kekurangan bakar semangat

- Diterbit 23 Oktober 2024 2:58 PM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

TINGGINYA mungkin hanya 105 sentimeter dan dengan ketinggian begitu, pastinya itu bukanlah ketinggian normal seperti mana insan lain. Namun Aiman Harith Zaharudin berjaya menamatkan pengajian ijazah kelas pertama Sarjana Muda Teknologi Maklumat.

Pemuda berusia 25 tahun itu menyifatkan saiznya yang lebih kecil berbanding rakan-rakannya menjadi pembakar semangat untuk dirinya mencipta kejayaan dalam akademik.

“Saya melihat ilmu jurusan ini boleh membuka jalan kepada saya untuk memasuki ke alam pekerjaan yang kini banyak melibatkan teknologi tinggi,” ujarnya pada Istiadat Konvokesyen ke-99 Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam baru-baru ini.

Dia mengakui pernah dipersendakan dan sudah ‘lali’ dengan pandangan masyarakat sekeliling namun boleh dikatakan semasa di UiTM ramai rakan, pensyarah dan pentadbir membantu memudahkan urusan pembelajaran.

“Saya anggap perkara itu biasa saja dan tidak pernah mengganggu fokus untuk sentiasa memperbaiki diri sendiri. Kita perlu bersikap matang untuk menghadapi situasi ini.

“Bahkan ibu bapa saya sentiasa memberikan sokongan yang kuat supaya terus sambung pengajian seperti orang biasa ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Anak kedua daripada lima adik beradik itu merupakan graduan UiTM Cawangan Perlis yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.55 sekali gus membolehkan beliau menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama.

Dalam masa sama, Aiman memberitahu bahawa kini dia terlibat dalam Work Placement Programme (WPP) Maybank sebagai protege sejak bulan Februari tahun ini.

Lebih menarik, program tersebut turut melibatkan golongan istimewa seperti disleksia dan autisme.

“Saya berharap agar pihak kerajaan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan istimewa seperti kami,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas