PENYANYI dan bekas peserta Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Rezza Shah, 23, akui pernah ditinggalkan kekasih kerana dikatakan tiada masa depan.
Sukar untuk melupakan kisah pahit itu, Rezza Shah atau nama sebenarnya Muhammad Shahrezza Abu Samah abadikan kenangan tersebut dalam lagu terbarunya berjudul Mungkin.
Lagu Mungkin dicipta oleh komposer berbakat seperti Rudy Nastia, Ku Yen, Barr Hadif dan Kelana. Manakala liriknya ditulis oleh Ku Yen, Jebat Asmara dan Rudy Nastia.
“Dulu keluarga bekas kekasih anggap saya tiada masa depan. Jadi dia curangi saya, pergi kepada lelaki yang lebih stabil kerjayanya.
“Itu kisah lama, tapi saya masih ingat hingga ke saat ini. Bukan tak boleh lupa, cuma kisah ini turut terjadi kepada lelaki-lelaki di luar sana.
“Kalau nak tahu lebih lanjut kisah sebenar saya ditinggalkan kekasih tu, kenalah dengar lagu Mungkin yang dilancarkan baru-baru ini,” katanya.
Menurut Rezza dia tidak berdendam atau pun marah kerana memahami situasi bekas kekasihnya itu.
“Dia berhak buat pilihan dan saya sentiasa doakan yang terbaik buat dirinya. Apa yang berlaku ada hikmahnya dan perancangan Allah itu lebih baik.
“Saya harap peminat sukakan lagu ini dan dapat rasa perkongsian kisah cinta saya ini,” ujarnya.
Selain menyanyi, Rezza Shah turut meminati bidang lakonan dan telah terlibat dalam beberapa buah drama antaranya Wanita Milik Kaiden lakonan bersama Emma Maembong, Iedil Putra, Shah Jazsle dan ramai lagi.
“Berlakon juga merupakan salah satu minat saya dan dengan bakat yang ada ini, saya mahu menjadi seorang penghibur yang berilmu dan disegani dalam kedua-dua bidang ini,” katanya.
Mungkin kini boleh didengari di semua platform muzik digital. Jangan lupa untuk menonton video muzik rasmi di saluran YouTube rasmi NSR Malay. – WILAYAHKU