CKK

Kekang kegiatan ‘ulat parkir’

- Diterbit 12 Januari 2024 3:10 PM MYT

APA perasaan anda apabila kereta yang diparkir dirosakkan? Catnya yang cantik berkilat digores atau tayarnya dibuang angin? Semua gara-gara tidak memberi tip atau bayaran kepada ulat parkir di tempat anda meletak kenderaan.

Gejala ini dikatakan berleluasa di ibu negara sekarang. Ulat parkir beroperasi di kawasan lapang awam, termasuk kawasan parkir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas tamat waktu operasi parkir.

Hak orang jadi hak sendiri. Itulah perangai ulat parkir. Mereka mengutip bayaran kenderaan yang diletak di kawasan awam. Bayaran pula diletak tinggi, sehingga berbelas ringgit. Jika mahu parkir, kena bayar. Jika parkir tetapi tidak mahu bayar, risikonya kereta akan cacat.

Kawan-kawan Kedai Kopi biasa melihat ulat parkir yang berkeliaran di kawasan parkir yang digazet. Namun mereka ini tidaklah menuntut sejumlah bayaran tertentu. Jika pemandu menghulur RM1 pun mereka sudah seronok.

Jarang mendengar ulat seperti ini merosakkan kenderaan jika tidak diberi tip. Biasanya pemandu tidak berkira untuk menghulur sedikit wang atas rasa simpati.

Yang merisaukan ialah ulat parkir yang lebih ‘ganas’ menguasai sesuatu kawasan tertentu. Perbuatan mereka menetapkan bayaran dan merosakkan kenderaan jika tidak diberi wang sangat membimbangkan, menjadikan orang ramai takut.

Kerana itu kawan-kawan Kedai Kopi berharap pihak berkuasa termasuk polis dan DBKL memantau dan mengekang kegiatan tidak sihat ini. Usah dibiarkan kegiatan tidak diingini ini berterusan.

Benar, bukan mudah untuk membuat pemantauan sepanjang masa. Tetapi itulah cara terbaik bagi mengekang ulat parkir ini. Ambil tindakan tegas terhadap yang terlibat, terutama bagi yang didapati berkali-kali mengulang kesalahan sama.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas