ACARA POWERMAN Malaysia Duathlon 2024 menyaksikan penyertaan tertinggi dengan membabitkan atlet elit, amatur dan junior sekali gus mengekalkan statusnya sebagai acara Duathlon Terbesar Dunia.
Menurut Pengarah Urusan Fresh Events Asia Sdn Bhd, Jeffrey Ross, acara yang berlangsung selama dua hari itu menampilkan seramai 4,000 peserta dari 30 buah negara termasuk Singapura, Thailand, Jepun, Perancis, Kenya, Hong Kong, United Kingdom dan Filipina.
“Sambutan hangat yang diterima bagi edisi kali ini menampilkan penyertaan daripada pelbagai demografik peserta. Penyertaan bagi tahun 2024 adalah lebih menyeluruh dengan membabitkan pelbagai lapisan usia, kerakyatan serta latar belakang peserta.
“Lebih menarik, laluan yang direka sepanjang 80 kilometer (km) di Putrajaya itu menanti peserta yang jelas perlu berada pada tahap terbaik untuk menghadapi cabaran beraksi dalam cuaca yang agak panas,” ujar beliau.
Sebagai rekod, penganjuran acara itu bertujuan untuk mewujudkan suasana yang inklusif serta merapatkan jurang antara atlet profesional dan atlet biasa yang memiliki semangat kecergasan serta ketahanan sukan.
Selain itu, Jeffrey Ross berkata dengan menyertai acara ini sebagai peserta ataupun pemerhati, secara tidak langsung mereka boleh terlibat dalam banyak acara termasuklah pameran kesihatan, bengkel interaktif dan peluang berhubung bersama pakar industri serta atlet terkemuka.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta dan juga mereka yang membantu sepanjang menjayakan acara ini. Kami sangat berbangga dengan sambutan luar biasa yang diterima selain bersama-sama membuka lembaran baharu dalam kisah POWERMAN Malaysia dengan penganjuran duathlon edisi ke-19 ini.
“Acara tahun ini mencapai tanda aras baharu dengan penyertaan jenama kenderaan utiliti sukan (SUV) premium antarabangsa, JAECOO sebagai rakan kerjasama kami. POWERMAN Malaysia terkenal sebagai salah satu acara yang paling popular dan berjaya di negara ini dan pastinya kami teruja dan berbangga untuk berkongsi pentas ini dengan JAECOO pada 2024,” ujarnya.
Dalam pada itu, Naib Presiden JAECOO Malaysia, Emily Lek berkata jenama JAECOO melambangkan ciri-ciri individu masa kini yang berani, sedia menempuh cabaran dan bercita-cita tinggi.
“Kami teruja untuk menyemarakkan semangat ini menerusi kerjasama kami dengan POWERMAN Malaysia. Sebagaimana setiap atlet didorong oleh keinginan untuk menyerlah dalam keadaan yang paling mencabar, JAECOO juga menyerlah dengan reka bentuk dan prestasi tersendiri bagi para peminat gaya hidup aktif yang menggemari aktiviti luar,” ujarnya.
Edisi pada tahun ini yang berlangsung pada 8 dan 9 Jun lalu itu menyaksikan John Leerams Chicano dari Filipina memenangi tempat pertama bagi kategori lelaki elit dengan mencatat masa keseluruhan 02:41:48 dan pemenang wanita elit pula diungguli oleh Rendy Williams dari Amerika Syarikat dengan catatan masa keseluruhan 03:09:34.
Sementara itu, Trio Malaysia, Esther Joy Hong Li Chen (03:13:35), Muhammad Rabani Hashim (02:58:41) dan Nazri Muhamad (02:59:24) dengan bangganya menamatkan perlumbaan masing-masing di tempat kedua, kelima dan keenam dalam kategori elit.
Acara tersebut turut disertai kira-kira 20 kanak-kanak kurang upaya (OKU) fizikal dan keperluan khas yang mendapat sokongan padu dan sorakan gemuruh daripada semua penonton dan peserta.
Selain daripada menyertai aktiviti menyeronokkan, peserta dan pengunjung juga berpeluang untuk melihat sendiri SUV premium JAECOO J7 yang beraksi sebagai kenderaan pemula perlumbaan, menyokong usaha POWERMAN Malaysia untuk menyampaikan pengalaman memberi terulung bagi para atlet.
Dalam masa sama, peserta turut berpeluang merasai sendiri varian SUV Pacuan Semua Roda (AWD) dan Pacuan Dua Roda (2WD) baharu dan menarik ini oleh JAECOO yang dipamerkan di lokasi acara. POWERMAN 2024 oleh JAECOO bukan sahaja membawakan perlumbaan yang menguji ketahanan fizikal tetapi juga menjanjikan pengalaman yang menyeluruh.
Terdahulu, Majlis Pelepasan (Flag Off) POWERMAN 2024 bagi kategori elit, klasik dan pendek disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh; Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud; Naib Presiden JAECOO Malaysia, Emily Lek dan Pengarah Mesyuarat dan Insentif Sokongan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Mohammad Isa Abdul Halim. – WILAYAHKU