Biz

Kek moist bantu tingkat taraf hidup

ANTARA kek buatan Maslina yang sering mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli.
- Diterbit 20 April 2025 8:00 PM MYT
KEKURANGAN modal dan kelengkapan‚ itu bukan penghalang atau mematahkan semangat seorang suri rumah untuk menghasilkan pencuci mulut aneka perisa bagi membantu meningkatkan taraf hidup keluarganya.

Ditambah dengan minat mendalam‚ ia antara resipi kejayaan Maslina‚ 30‚ yang tidak menyangka pencuci mulut kek moist dihasilkan secara kecil-kecilan dari bilik sewa kini menjadikan beliau sebagai seorang usahawan berjaya.

Menceritakan apa yang dilaluinya selama ini‚ katanya awal permulaan perniagaan adalah berdasarkan minat dalam pembuatan kek dan hanya mencuba untuk menjualnya kepada rakan dan ahli keluarga terdekat.

“Percubaan pertama itu mendapat sambutan memberangsangkan. Walaupun hasil jualan hanya nilai kecil namun ia memberikan semangat kepada saya waktu itu untuk terus mengorak langkah berjaya dalam perniagaan ini.

“Sejak itu‚ saya terus dapat tempahan tanpa henti dan menjadikannya sebagai jualan utama‚ khususnya pada musim perayaan dengan menerima tempahan lebih 200 biji kek pada satu-satu masa.

“Saya minat membuat kek. Saya cuba buat sendiri dengan kuantiti sedikit dan menjualnya kepada rakan. Syukur kerana mendapat maklum balas baik daripada mereka‚” katanya.

Maslina menambah bahawa bermula detik itu dia terus bersemangat untuk menjalankan perniagaan tersebut dari rumah.

Ketika itu katanya dia sekeluarga hanya mampu menyewa bilik.

“Di situ tempat saya membuat kek moist dengan serba kekurangan kerana tiada peti sejuk mahupun mesin pengadun.

“Pada waktu itu‚ dalam seminggu saya dapat satu hingga 10 biji tempahan dan bila terima tempahan itu saya akan terus buat dan hantar kepada pelanggan‚” jelas ibu kepada dua cahaya mata itu sambil sebak mengenang kembali waktu permulaan menjalankan perniagaan dari bilik sewa pada 2018.

Maslina kini meraih pendapatan bulanan yang lumayan hasil perniagaan itu dan mampu melangkah keluar daripada kehidupan serba kekurangan kepada kehidupan lebih selesa.

Mesra dengan panggilan Kak Mas‚ katanya dalam menghasilkan kek moist‚ ia memerlukan teknik adunan yang mahir serta menggunakan bahan-bahan berkualiti.

Jelasnya dengan pengalaman bekerja di sebuah kedai bakeri di Semenanjung‚ ia merupakan salah satu ilmu yang dipelajarinya dari awal sehingga mahir dan berjaya menghasilkan lebih sembilan jenis kek moist.

“Kek yang digemari pelanggan ialah kek coklat moist. Setiap hari sebanyak tiga hingga empat kilogram tepung digunakan untuk memenuhi tempahan pelanggan.

“Antara kek moist yang saya hasilkan ialah kek chocolate moist‚ chocolate cheese‚ red velvet‚ choco cheese indulgence‚ kek batik‚ vanilla cheese‚ keladi‚ pandan serta cheesekut nestum. Dari segi harga kek yang saya hasilkan adalah sekitar RM8 hingga RM65 mengikut saiz dan perisa selain mengikut permintaan pelanggan.

“Walaupun ketika ini harga barang khususnya barang pembuatan kek meningkat namun saya tetap menggunakan bahan-bahan berkualiti agar kek dihasilkan bermutu selain memenuhi cita rasa pelanggan‚” jelasnya yang kini memiliki sebuah kedai dan restoran tomyam.

Maslina memberitahu kini perniagaannya mampu menghasilkan jualan dalam anggaran kasar RM5‚000 hingga RM10‚000 setiap bulan.

“Mungkin nilai itu kecil bagi usahawan lain‚ namun ia besar ertinya bagi peniaga kecil-kecilan seperti saya.

“Dengan hasil perniagaan kek ini saya mampu menampung perbelanjaan sekeluarga dan mengecapi kehidupan selesa berbanding dahulu‚” katanya.

Bercerita mengenai perancangan masa depan‚ Maslina berkata dia dan suami mahu mengembangkan lagi perniagaan kek dengan membuka kedai di beberapa lokasi dan meluaskan jualan ke Sabah‚ Sarawak mahupun Semenanjung. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas